Oleh Yusof A. Shariff
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad berkata masih belum terlambat untuk perdana menteri kerajaan sementara Ismail Sabri memecat anggota kabinetnya.
Beliau membidas kenyataan perdana menteri sementara itu bahawa dia boleh bertindak memecat 12 menteri Perikatan Nasional (PN) yang menghantar surat kepada Agong berhubung pembubaran parlimen baru-baru ini.
Menurut Abdul Latiff, penggunaan frasa “pecat menteri” tidak sepatutnya digunakan dalam program politik, walaupun secara bergurau atau sinis.
“Memang kita tahu perdana menteri mempunyai kuasa ‘hire and fire’, namun kami pun ada maruah, tidak perlu pecat kami, kami pun boleh letak jawatan lebih awal.
“Kami masih teringat dua menteri UMNO yang letak jawatan semasa Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri kelapan dahulu.
“Kami masih lagi anggota Kabinet ‘caretaker’. Masih belum terlambat untuk dipecat. Mungkin YAB PM9 (Ismail Sabri) boleh mencipta sejarah dengan memecat anggota kabinet dalam masa ‘injury time’, kata pemimpin Bersatu itu dalam kenyataan pada Rabu (19 Okt).
Ismail Sabri berkata demikian ketika bersama presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk, Perak baru-baru ini.
Dalam ucapannya, beliau berkata beliau telah membayangkan hasrat untuk membubarkan Parlimen semasa mesyuarat Kabinet terakhir pada 7 Oktober lalu.
Bagaimana pun, Abdul Latiff menafikan bahawa ia dibincangkan semasa mesyuarat tersebut.
Beliau sebaliknya berkata perbincangan hanya mengenai perkara dasar, seperti persediaan pilihan raya, bencana Monsun Timur Laut dan persediaan Belanjawan 2023.
“Namun dalam ucapan selama 36 minit itu dinyatakan terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat serta mengelirukan, terutama mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Cuma (perkara PRU15) YAB PM9 tidak pernah untuk dia meminta mandat daripada anggota kabinet mengenai tarikh pembubaran parlimen.
“YAB PM9 ada menyatakan bahawa kita utamakan persediaan bencana, Monsun Timur Laut dan kos barangan (ekonomi) daripada perkara PRU15,” katanya lagi.
-BTS Media