GAMBAR ATAS: utusan.com.my.
Oleh Zainal AS Rashid
BOUSTEAD Naval Shipyard (BNS) menyangkal dakwaan bahawa peralatan untuk kegunaan enam kapal tempur pesisir (LCS) yang tersimpan akan lapuk tidak lama lagi.
Ketua Eksekutif Azhar Jumaat yang dipetik Berita Harian berkata peralatan bernilai RM1.7 bilion dengan jangka hayat 27 tahun itu “100 peratus boleh digunakan”.
Dakwaan itu dibuat selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata satu perlima daripada peralatan berkenaan sudah lapuk.
“Saya ingin menegaskan bahawa semua yang disimpan adalah seratus peratus berfungsi dan tidak ada keperluan untuk membeli yang baharu,” Azhar dipetik berkata.
Bahan-bahan yang dikatakan tidak boleh digunakan sebenarnya dalam “proses keusangan”, tambah Azhar.
Oleh demikian, menurut beliau adalah tidak betul dakwaan bahawa kesemuanya sudah lapuk, kerana dengan menyifatkan sebegitu ia seolah-olah menggambarkan bahawa ia tidak lagi berguna.
Beliau berkata keusangan (obsolescence) bermakna peralatan itu masih boleh digunakan jika diselenggara dari semasa ke semasa.
Semalam, BNS mengadakan taklimat media bersama Kementerian Pertahanan di limbungan kapalnya di Lumut, Perak bagi menjelaskan tentang isu yang hangat diperkatakan berikutan hasil penemuan PAC yang didedahkan kepada umum pada 4 Ogos.
Projek LCS adalah pemerolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan setakat ini, dengan jumlah anggaran nilai RM9 bilion.
Menurut PAC, daripada jumlah itu kira-kira RM6 bilion dibelanjakan setakat ini, namun tiada satu pun daripada enam kapal dihantar.
Berdasarkan jadual kontrak, kesemua enam kapal sepatutnya dihantar bulan ini. Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata kos projek juga telah meningkat.
Pada taklimat media semalam, Azhar berkata kapal pertama sudah hampir 60 peratus siap. Kerja-kerja bagi baki lima kapal lagi masih kurang daripada separuh, kata Azhar kepada media.
-BTS Media