BTS Media

Guru ‘extraordinaire” Mohd Fadli terus bersuara demi kebaikan

Oleh Zainal AS Rashid

GURU sekolah rendah, Mohd Fadli Mohd Salleh menyarankan supaya kerajaan baharu selepas PRU15 nanti memberikan kebebasan kepada penjawat awam untuk menyuarakan pendapat dan pandangan berhubung dasar kerajaan.

Gesaan itu menyusul selepas pihak kementerian pendidikan (KPM) mendapati beliau tidak bersalah, justeru dibebaskan daripada tindakan tatatertib kerana mengkritik beberapa isu berhubung persekolahan.

“Saya minta mana-mana parti yang jadi kerajaan selepas ini tolong buang peraturan yang mana penjawat awam tak boleh mengkritik dasar dan kelemahan kerajaan.

“Bukan kita nak minta mereka kutuk kerajaan. Kita nak kebebasan bersuara untuk hal sepatutnya yang sesuai. Idea itu tidak boleh disekat. Biar orang keluar idea hujah mereka, kita balas cara ilmiah, kita hujahkan balik kalau kita tak setuju.

“Peraturan yang menyekat penjawat awam (daripada mengkritik dasar kerajaan) tak kira mana-mana kementerian, tak kisahlah, tolong buang. Kita jadikan negara kita benar-benar demokrasi,” katanya melalui siaran ‘live’ di Facebook pada Selasa (18 Okt).

Mohd Fadli turut berkongsi surat daripada Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan yang memutuskan bahawa beliau tidak bersalah kerana menegur beberapa isu berkaitan persekolahan.

Sejak beberapa hari lalu, ramai yang tampil menyokong keikhlasan dan keberanian beliau hingga berdepan dengan kemungkinan dibuang kerja atau diturunkan pangkat apabila mengkritik isu, termasuk sukatan pelajaran murid sekolah rendah yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Selain itu, Mohd Fadli turut membangkitkan tentang kapasiti murid di dalam kelas yang terlalu ramai, selain perkara yang diajar serta beban beg berat.

Beliau merujuk kepada pihak pelaksana yang merupakan satu-satunya entiti yang maklum tentang kelemahan yang dibangkitkannya.

 Pendidikan dan politik perlu diasingkan

Mohd Fadli berkata politik perlu dipisahkan daripada sistem pendidikan negara bagi mengelakkan mana-mana individu yang memegang jawatan menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi.

Beliau berkata, politik dan pendidikan perlu diasingkan kerana bila bergabung dengan orang politik seseorang penjawat awam akan mendapati dirinya payah membolos diri daripada pengaruh. Ini mungkin membawa kepada eksploitasi jawatan bagi mengatur kedudukan pihak sendiri.

-BTS Media

Leave a Comment