DAKWAAN bahawa pembantu rumah Indonesia lambat tiba tiada kaitan dengan kedutaan Indonesia.
Ini kerana semua permohonan diproses oleh pihak Indonesia dalam tempoh tiga hari selepas penyerahan dokumen, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.
“Kami tiada sebab untuk menangguhkan sebarang permohonan dan tempoh maksimum yang kami ambil untuk memproses dan meluluskan (permohonan) hanya tiga hari jika semua dokumen lengkap,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini seramai115 pembantu rumah telah tiba setakat dengan sebanyak 537 kontrak pekerjaan telah disokong sejak memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengupahan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia ditandatangani pada 1 April.
Hermono berkata, kumpulan pertama 17 pembantu rumah tiba pada Ogos.
“Kami juga tidak akan tahu sama ada pembantu rumah memasuki negara ini atau tidak selepas menyokong (permohonan), melainkan agensi memaklumkan kepada kami,” katanya.
Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa) Foo Yong Hoo berkata, pihaknya menerima aduan bahawa mereka berdepan sukar mendapatkan visa dan cuba mendapatkan pegawai dari Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen untuk mengadakan seminar bagi menjelaskan prosedur berkenaan, lapor FMT.
“Agensi-agensi agak keliru kerana keadaan tidak begitu jelas selepas Sistem Maid Online (SMO) dihentikan,” katanya.
“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku. Apa yang kami mahu adalah agar pihak berkuasa menjelaskan perkara itu,” katanya.
Mengikut SMO, pekerja domestik Indonesia memasuki Malaysia menggunakan visa pelancong dan kemudian memohon permit kerja, tetapi ini digantikan dengan Sistem Saluran Tunggal (OCS) mengikut MoU. SMO telah dihentikan sejak 15 Ogos.
Sistem OCS menetapkan semua permohonan bagi mendapatkan pembantu rumah Indonesia melalui platform bersepadu kedutaan Indonesia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Bakal majikan menyerahkan dokumen dan kontrak kepada Jabatan Imigresen untuk ditapis kelayakan sebagai majikan.
Data tersebut kemudiannya dihantar ke kedutaan melalui platform bersepadu dan sebaik sahaja duta mengesahkan kontrak pekerjaan, Jabatan Imigresen akan mengeluarkan visa dengan nombor rujukan.