Oleh Zainal AS Rashid
KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada Jumaat (30 Sept) menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan kononnya Pulau Pinang mencatatkan kadar kes rasuah paling tinggi membabitkan penjawat awam di negara ini.
Beliau berkata SPRM harus telus dan mendedahkan jumlah kes yang dibawa ke mahkamah serta jumlah sabitan, bukannya hanya memberitahu orang ramai tentang jumlah aduan yang diterimanya.
Chow, dalam satu kenyataan menuntut ketelusan di pihak SPRM kerana pihaknya tidak mahu imej penjawat awam Pulau Pinang dan kerajaan negeri tercemar hanya dengan jumlah aduan yang diterima sejak 2019.
Beliau menjawab kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki semalam bahawa SPRM telah menerima sejumlah 919 aduan terhadap penjawat awam di Pulau Pinang atas dakwaan rasuah sejak 2019.
Azam berkata, aduan yang diterima adalah berkaitan penerimaan rasuah, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang.
Chow berkata kerajaan negeri pimpinan DAP itu bersedia untuk bekerjasama dengan SPRM untuk menghapuskan rasuah dalam perkhidmatan awam.
“Pulau Pinang mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap jenayah rasuah melibatkan penjawat awam di negeri ini kerana ia selaras dengan prinsip tadbir urus baik CAT; kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan yang diamalkan sejak 2008,” katanya.
Tegasnya, tiada sesiapa pun dikecualikan undang-undang, dan penjawat awam yang didapati menerima rasuah, menyalahguna kuasa dan membuat tuntutan palsu mesti disiasat dan didakwa secepat mungkin.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan ahli parlimen veteran Lim Kit Siang turut mencabar SPRM supaya mengemukakan angka menyeluruh kes-kes rasuah, dan bukan hanya yang dikatakan berlaku di Pulau Pinang, bagi membuat perbandingan.
“Apakah angka untuk negeri-negeri lain di Malaysia dan apakah jangka masa yang Azam maksudkan?
“Berapa ramai yang telah didakwa SPRM di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa di Pulau Pinang dan berapakah angka bagi negeri-negeri lain?” tanya ahli parlimen Iskandar Puteri itu.
Beliau juga meminta SPRM membezakan antara penjawat awam persekutuan dan negeri.
“Tidak kira negeri mana terbabit, rasuah dan salah guna kuasa mesti dihapuskan jika ia ‘membimbangkan’,” tambahnya.
Lim turut mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri mengarahkan Azam supaya hadir untuk menjelaskan kenyataannya itu.
“PSC mengenai agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri mempunyai banyak urusan yang belum selesai dan juga urusan baharu yang mana mesyuarat tergempar pada minggu pertama Parlimen pada Oktober wajar diadakan supaya ia boleh mengemukakan laporan pertamanya kepada Dewan Rakyat pada bulan itu juga,” kata Lim.
-BTS Media