AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris memberi amaran kepada bekas menteri perpaduan dan kesejahteraan sosial, P Waytha Moorthy supaya tidak menjadi batu api yang melaga-lagakan pemimpin parti pemerintah dengan menuduh Bersatu tidak akan menyokong Belanjawan 2023.
Beliau turut memberi amaran kepada Waytha Moorthy supaya tidak mencampuri urusan parti lain.
Razali merujuk dakwaan Waytha Moorthy yang menganggap “pertembungan” terbaharu antara Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mungkin menyaksikan parti teras Perikatan Nasional itu tidak menyokong Belanjawan 2023.
“Kenyataan Muhyiddin menjadi petunjuk tiada jaminan parti itu (Bersatu) akan menyokong Bajet 2023, yang dijangka dibentang pada 7 Okt,” kata Waytha Moorthy merujuk saranan Muhyiddin supaya pilihan raya umum ke-15 diadakan, jika Ismail gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.
Razali yang juga Ahli Dewan Negara berkata, pucuk pimpinan Bersatu tidak pernah berbincang untuk menolak Belanjawan 2023 pada 7 Okt ini.
Menurut beliau, Waytha Moorthy gagal memahami maksud Muhyiddin apabila menasihati perdana menteri.
“Tuduhan tersebut tidak berasas, sekadar melaga-lagakan pemimpin parti kerajaan sedia ada.
“Semua Ahli Parlimen profesional dalam perbahasan belanjawan, termasuk dari Bersatu kerana belanjawan untuk kepentingan semua rakyat, termasuk anggota kerajaan. Jadi, mana boleh semberono tidak menyokong,” katanya.
Pada 19 Sept lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik memberi kesan negatif kepada kehidupan rakyat, di mana 61% daripada mereka berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah.
Beliau menyarankan Ismail membubarkan Parlimen untuk diadakan PRU15, jika gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.
-BTS Media