Oleh Ahmad Abd Hamid
Semakin hampir hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac, semakin hebat nampaknya asakan ‘Bosku’ Datuk Seri Najib Razak ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Daripada isu Felda hingga isu 1MBD, Najib cuba menghimpit Muhyiddin. Beliau mencabar bekas perdana menteri itu berdebat mengenai isu Felda walau pun Muhyiddin tidak memulakan cabaran. Najib juga mendakwa pembayaran hutang wang 1MDB tidak menggunakan duit rakyat.
Kenapa harus Najib ‘mencari pasal’ dengan Muhyiddin? Mungkinkah ada rasa geram di hati sebab Muhyiddin selalu menyebut kluster mahkamah?
Dalam isu Felda, yang mencabar Najib mengadakan debat terbuka ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Seri Azmin Ali.
Namun Najib enggan menyahut cabaran ini dengan alasan sarkastik beliau bimbang tidak nampak Azmin di atas pentas kerana wajahnya kabur. Ini merujuk kepada kes video yang dikaitkan dengan Azmin sebelum ini. Kenapa tolak? Nanti orang beranggapan Najib tidak berani berhadapan dengan Azmin pun, bagaimana pula mahu menghadapi Muhyiddin?
Dengan memusingkan cabaran kepada Muhyiddin, Najib seperti angkuh pula kerana merasakan cukup kuat berdebat berseorangan menghadapi gandingan Muhyiddin dan Azmin. Rasanya, jika Muhyiddin mahu, dia boleh berdebat seorang diri tanpa bantuan sesiapa.
Elok Muhyiddin tidak termakan cabaran Najib. Mungkin beliau merasa tidak perlu dilayan cabaran ini yang dilihat sebagai usaha Najib menonjolkan bahawa beliau adalah pejuang Felda yang banyak membantu peneroka. Inilah bahan kempen Najib di Johor.
Tidak dinafikan Felda diasaskan oleh perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak. Kerana itu dalam kempennya Najib menegaskan tidak akan menghancurkan Felda yang diasaskan oleh ayahandanya sendiri.
Itu cerita kejayaan Tun Razak yang memang dikenang oleh rakyat. Namun Felda juga melalui detik suram, misalnya harga saham Felda Global Ventures (FGV) yang merudum daripada harga tawaran.
Selain itu Azmin menimbulkan isu pembelian Eagle High serta pembelian hartanah lain yang disifatkan membawa mudarat kepada agensi itu.
Untuk berlaku adil, semua perdana menteri selepas Tun Razak memberi perhatian kepada Felda serta kebajikan peneroka. Kerana itu tidak harus ada individu, termasuk Najib, memberi gambaran hanya individu tertentu sahaja yang prihatin terhadap Felda.
Jika Najib hendak mengemukakan fakta dan hujah, terima sahaja cabaran Azmin untuk berdebat. Adakah Azmin dianggap ‘low standard’? Kerana itu Najib lebih berminat ‘mengacau’ Muhyiddin yang dianggap lawan sebenar. Tidak perlu sebenarnya berbuat demikian. Mungkin Najib beranggapan ini peluang untuk mempeleceh Ahli Parlimen Pagoh itu.
Muhyiddin sebaliknya mengambil kesempatan ‘memukul’ balik Najib berhubung isu 1MBD ketika perbahasan titah di raja di Dewan Rakyat Isnin lalu. Beliau menjawab dakwaan Najib kononnya tiada dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB.
Dakwa Najib, hutang dibayar daripada wang 1MDB yang dikembalikan oleh beberapa entiti seperti Goldman Sachs Group Inc., firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika.
Menurut Muhyiddin, Menteri Kewangan telah memaklumkan kerajaan sudah membayar RM13.3 bilion hutang 1MDB. Tegasnya, ini adalah duit rakyat.
Mungkin juga Najib berandaian kerajaan berjaya mendapatkan semula wang dan aset 1MDB yang diselewengkan bagi membayar hutang tersebut.
Namun menurut Muhyiddin, pasukan petugas yang berjaya mendapatkan kembali dana dan aset tersebut ditubuhkan ketika beliau (Muhyiddin) menjadi perdana menteri. Melalui usaha itu, sejumlah RM23 bilion diperoleh semula.
Muhyiddin menyebut, jika Najib masih perdana menteri tidak mungkin ditubuhkan pasukan petugas khas untuk mengesan aset dan wang 1MDB yang hilang. Ini kerana, dakwa Muhyiddin, Najib sendiri menjadi punca perkara itu berlaku.
Muhyiddin juga menangkis dakwaan Najib bahawa pentadbirannya (Muhyiddin) membazirkan wang menyebabkan keadaan kewangan negara teruk.
Hakikatnya, jelas Muhyiddin, pentadbirannya membelanjakan RM530 bilion untuk mendepani masalah Covid-19, vaksin dan pakej rangsangan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik tersebut. Rakyat sentiasa diutamakan. Adakah ini satu pembaziran? Biarlah rakyat membuat penilaian.
-BTS Media