BTS Media

Kes Najib selesai, namun perjuangan menentang rasuah berterusan, kata Muhyiddin

 

Oleh Fetty Rara

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan Najib Razak tidak bermakna “perjuangan” menentang rasuah telah berakhir, kata bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 2015 selepas bersuara menentang skandal 1MDB

Beliau berkata perbicaraan Najib atas dakwaan penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB masih belum berakhir dan perbicaraan rasuah Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi masih berjalan.

Dalam catatan Facebook semalam (23 Ogos), Muhyiddin yang merupakan presiden Bersatu, juga berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu telah memulihkan maruah negara melalui badan kehakiman yang bebas.

Menurut beliau, tanpa badan kehakiman yang bebas demokrasi Malaysia akan gagal dan negara seterusnya dikuasai rejim autokratik, korup dan muflis dari segi moral.

Muhyiddin berkata, beliau mempertahankan kebebasan kehakiman semasa menjadi perdana menteri. Walaupun didesak campur tangan dalam kes tertentu, beliau tegas menolak (tekanan), dan berikutan itu terpaksa meletakkan jawatan kerana mempertahankan prinsip ini.

Muhyiddin sebelum ini enggan melayani apa yang didakwanya sebagai permintaan Najib dan Zahid supaya mendapatkan bantuan dalam kes rasuah mereka kerana beliau tidak mahu campur tangan dalam badan kehakiman.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabitkan dengan kesemua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, penyelewengan dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Bekas perdana menteri itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada Selasa (23 Ogos) setelah mahkamah tertinggi mengesahkan sabitan itu.

-BTS Media

Leave a Comment