GAMBAR ATAS: lescopaque.
Oleh Yusoff A. Shariff
LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerusi Yayasan Felda menawarkan biasiswa berjumlah RM500,000 kepada 30 pelajar generasi baharu Felda untuk melanjutkan pelajaran di Les’ Copaque Animation Academy (LCAA).
Inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan mobiliti sosial warga Felda generasi baharu melalui pendidikan berkualiti.
Penyampaian tajaan biasiswa penuh ini disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Felda yang juga Ahli Jawatankuasa Akademik Yayasan Felda, Muhammad Fadzli Hasan dan Pengerusi LCAA, Burhanuddin Md Radzi di Shah Alam pada Isnin.
Muhammad Fadzli ketika ditemui media berkata, ini kali pertama kerjasama diadakan di antara Felda dan LCAA yang menyediakan pengajian diploma Teknologi Animedia 3D dan Perniagaan Kreatif.
“Untuk pengambilan pertama ia melibatkan seramai 24 pelajar generasi baharu Felda. Sebelum ini kita turut melaksanakan program ‘coding and robotics’ dan ‘smart classroom’ selain memorandum persefahaman (MoU) dengan Asia Pasifik University (APU).
Pelajar yang memulakan sesi pengajian di LCAA pada Selasa diberi pilihan sama ada meneruskan pengajian Diploma Teknologi Animedia 3D dalam produksi animasi 3D atau Diploma Perniagaan Kreatif dengan pengkhususan dalam pengurusan perniagaan dan industri kreatif.
-BTS Media