BTS Media

Jasri tekad bantu perumahan generasi kedua FELDA Jengka 1 yang belum kesampaian

CALON Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin berkata, desakan akan dibuat bagi mempercepatkan proses pembinaan rumah generasi kedua FELDA yang masih belum siap jika beliau memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Menurutnya, projek di Felda Jengka 1 sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) itu merupakan fokus utama beliau dalam membantu generasi tersebut yang amat memerlukan rumah.

“Bayangkan sudah beberapa kali PRU tapi masih belum siap sedangkan rumah ini adalah keperluan mendesak buat generasi kedua yang kini masih ramai terpaksa menumpang di rumah keluarga.

“Ini antara rungutan yang banyak diluahkan oleh pengundi sepanjang tempoh saya berkempen di kawasan ini,” kata Ketua Bersatu Bahagian Maran itu lagi.

Dalam pada itu, ahli perniagaan yang juga anak jati Pahang kelahiran Kampung Lanting, Chenor yakin sokongan mantap pengundi terhadap PN selari dengan Gelombang PN yang melanda seluruh negara.

Jelas pemegang Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari United Kingdom itu, ia dapat dilihat pada sambutan hangat yang diberikan pengundi setakat ini.

“Tanpa mengira kaum dan peringkat umur, setiap kali pergi ke Pusat Daerah Mengundi (PDM), ramai yang datang dan ini membuktikan mereka sedar dan mahukan perubahan untuk negara.

“Mereka menzahirkan sokongan tanpa berbelah bahagi terhadap saya dan PN dan ini memberikan keyakinan buat saya untuk merampas kerusi di DUN ini yang selama ini kubu kuat Barisan Nasional(BN),” tambah beliau.

Sementara itu, menjelang sehari tamat tempoh berkempen, Jasri memberitahu beliau dan jentera parti itu akan menemui pengundi seramai mungkin dalam tempoh tersebut menerusi siri jelajah ke PDM dan ziarah dari rumah ke rumah.

Turut aktif dalam kegiatan kemasyarakatan, Jasri mengingatkan pengundi supaya turun pada Sabtu ini dan membuat keputusan bijak dengan memilih PN demi masa depan negara supaya sebuah kerajaan yang bersih dan mementingkan rakyat dapat dibentuk.

-BTS Media

Leave a Comment