Oleh Yusoff A. Shariff
SEBUAH bot membawa enam orang karam di Sungai Chanthaburi, berhampiran Teluk Thailand ketika hujan lebat pada malam Ahad.
Pasukan penyelamat menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 8.00 malam apabila bot tersebut semakin karam berhampiran Wat Arakkha Thewade di daerah Laem Sing, Chantanaburi, lapor nationthailand.com.
Anggota penyelamat berkata mereka mengambil masa beberapa jam untuk menarik keluar lima mangsa dari dalam sungai, termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun sebelum terpaksa menghentikan operasi kerana arus terlalu deras dan angin kencang.
Seorang mangsa berusia 40 tahun masih dilaporkan hilang.
Pemandu bot Surasak Charoensuk, 38, dilaporkan memberitahu pegawai bahawa bot itu membawa enam orang – empat lelaki dan dua wanita termasuk dirinya yang dalam perjalanan untuk menangkap ketam peregrine, yang merupakan aktiviti malam popular di kawasan itu.
Dia berkata arus semakin deras apabila berlaku hujan lebat berterusan, dan air mula memasuki bot hingga ia tenggelam perlahan-perlahan ketika di tengah sungai. Dia kemudian menghantar isyarat SOS kepada orang ramai di darat dengan lampu suluh.
Usaha mencari diteruskan pagi Isnin untuk mangsa terakhir.
Jabatan Meteorologi Thailand pada Ahad berkata hujan lebat akan terus berlaku bersama tiupan angin kencang di kebayakan wilayah negara itu hingga Rabu.
-BTS Media