Oleh Zainal AS Rashid
TAUFAN Nanmadol telah tiba di barat daya Jepun pada petang Ahad, ketika pihak berkuasa menggesa berjuta penduduk mencari perlindungan daripada angin ribut kencang dan hujan lebat.
Ribut itu secara rasmi mendarat sekitar pukul 7.00 malam waktu tempatan (1000 GMT) berhampiran bandar Kagoshima, kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Nanmadol membawa angin selaju 234 kilometer sejam dan setakat ini mengakibatkan limpahan hujan sebanyak 500mm hujan dalam masa kurang 24 jam di bahagian barat daya wilayah Kyushu.
Sekurang-kurangnya 20,000 orang bermalam di pusat perlindungan di wilayah Kagoshima dan Miyazaki Kyushu, di mana JMA telah mengeluarkan “amaran khas” yang jarang berlaku di Jepun.
Badan penyiaran rasmi Jepun, NHK yang mengumpul maklumat daripada pihak berkuasa tempatan, berkata lebih tujuh juta penduduk diberitahu supaya berpindah ke tempat selamat atau berlindung dalam bangunan kukuh sepanjang tempoh taufan melanda.
Juga, menjelang petang Ahad (18 Sept), lebih 200,000 rumah terputus bekalan elektrik, manakala perkhidmatan kereta api, penerbangan dan feri dibatalkan.
Saintis berkata perubahan iklim mencetuskan ribut kuat, selain menyebabkan kerap berlaku cuaca ekstrem seperti gelombang haba, kemarau dan banjir kilat.
-BTS Media