BTS Media

Pencemaran sungai: Jabatan Hutan Terengganu henti pembalakan di Tasik Kenyir

GAMBAR ATAS: Google Earth.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

JABATAN Perhutanan Terengganu telah menghentikan sementara aktiviti pembalakan di kawasan berhampiran Tasik Kenyir.

Aktiviti tersebut dikatakan punca air keruh di air terjun Sungai Lasir.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Sulaiman Sulong berkata, pihaknya difahamkan bahawa aktiviti pembalakan di kawasan kira-kira 4km di hulu Sungai Lasir telah dihentikan sebaik sahaja isu pencemaran itu dilaporkan oleh media baru-baru ini.

Menurutnya, pembalakan ditangguhkan sehingga air terjun yang menjadi tumpuan pelancong ke Tasik Kenyir kembali bersih.

Beliau memberitahu media pada Rabu (14 Sept) bahawa dipercayai hujan lebat juga menyebabkan air menjadi keruh.

Sebelum ini dilaporkan bahawa air di Air Terjun Sungai Lasir di hutan rekreasi Tasik Kenyir keruh, dan puncanya dipercayai aktiviti pembalakan berhampiran.

Dalam satu kenyataan pada hari yang sama, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata air menjadi keruh kerana hujan lebat, dan bukan disebabkan aktiviti pembalakan.

Beliau berkata aktiviti berhubung perhutanan dan pembalakan terikat dengan syarat, termasuk memastikan jarak sesuai di antara kawasan kerja dan sumber air.

-BTS Media

Leave a Comment