Oleh Yusoff A. Shariff
Penduduk tempatan menamakan pari gergasi 13 kaki itu “bulan purnama” kerana bentuknya bulat. Saintis yang berada di lokasi pendaratan telah meletakkan ‘tag’ bagi mengesan pergerakan spesies ikan tersebut.
Ikan pari gergasi yang ditangkap di Sungai Mekong di Kemboja adalah ikan air tawar terbesar pernah direkodkan di dunia, kata saintis.
Menurut kenyataan oleh projek penyelidikan bersama Kemboja-Amerika Syarikat, Wonders of the Mekong, ikan pari yang berukuran hampir empat meter dari muncung ke ekor dan berat 300kg itu ditangkap pada 13 Jun lepas.
Rekod sebelum ini berupa ikan keli gergasi Mekong seberat 293kg yang ditangkap di Thailand pada 2005.
Ia ditangkap oleh seorang nelayan di selatan Stung Treng, timur laut negara itu dan dinamakan “Boramy” atau “bulan penuh” oleh penduduk tempatan kerana bentuknya yang bulat, lapor Sky News.
Ketua Wonders of the Mekong, Zeb Hogan berkata apabila melihat ikan sebesar itu, terutama spesies ikan air tawar, ia tentu sekali menarik perhatian kalangan saintis.
Bagi Hogan penemuan ikan sebesar itu mencetuskan pendapat bahawa sistem ekologi di Sungai Mekong masih ada harapan untuk berkembang dengan sihat walaupun menghadapi cabaran alam sekitar.
Alat ‘tag’ yang dipasang pada bahagian ekor ikan akan menghantar isyarat bagi mengesan pergerakan spesies tersebut sepanjang setahun akan datang, sekali gus menyediakan data tentang habitat dan kehidupannya.
Sebagai imbuhan usaha menangkap ikan pari itu, si nelayan mendapat bayaran AS$600 (RM2,637) mengikut kadar pasaran di Kemboja.
Sungai Mekong yang mengalir melalui China, Myanmar, Laos, Thailand, Kemboja dan Vietnam merupakan habitat beberapa spesies ikan air tawar gergasi. Bagaimana pun, tekanan terhadap alam sekitar, terutama berikutan projek pembinaan sebuah empangan sejak beberapa tahun ini telah merosakkan kawasan lubuk di mana spesies tersebut membiak.
-BTS Media