WARGA Malaysia, Leonard Glenn Francis “Fat Leonard” yang melarikan diri dari Amerika Syarikat selepas memotong gelang pemantauan GPS pada kakinya dua minggu lalu berjaya ditangkap di Venezuela.
Kontraktor peralatan tentera kelahiran Pulau Pinang itu ditahan di bawah notis merah Interpol di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar, Caracas, ibu negara Venezuela, lapor CBS News.
Menurut laporan itu, Francis ditangkap oleh pihak US Marshals ketika sedang menaiki pesawat untuk ke Cuba.
Dia dipercayai telah melarikan diri ke Mexico setelah meninggalkan rumah di mana dia ditahan di bandar San Diego yang terletak berhampiran sempadan AS dengan Mexico pada 4 September lepas.
Media pada 6 September melaporkan bahawa Francis menghilangkan diri hanya tiga minggu sebelum dia sepatutnya memulakan hukuman penjara 25 tahun setelah mengaku bersalah terbabit dalam apa yang disifatkan sebagai skandal rasuah terburuk dalam sejarah tentera laut AS.
Turut terbabit dan dihukum lebih 30 pegawai tentera laut AS dan kontraktor.
Bekas laksamana muda Bruce Loveless yang merupakan antara lima pegawai tinggi tentera laut terbabit dalam skandal tersebut pada 16 September dibebaskan setelah pendakwa persekutuan menggugurkan pertuduhan terhadap beliau.
Empat pegawai lain – bekas komander Mario Herrera dan bekas kapten David Newland, James Dolan dan David Lausman – telah disabitkan dengan konspirasi, rasuah dan tuduhan lain.
Selain tuduhan disogok dengan makanan mahal, bilik hotel mewah dan pelacur, pendakwa raya juga mendakwa mereka telah menerima rasuah untuk menyalurkan maklumat sulit kepada Francis.
Mereka juga dituduh menyalahguna kedudukan untuk memastikan kapal yang berlabuh di pelabuhan diservis oleh syarikat Francis yang berpangkalan di Singapura, Glenn Defense Marine Asia.
Syarikat itu didakwa mengenakan bayaran berlebihan kepada Tentera Laut AS sebanyak lebih AS$35 juta (RM147 juta).
-BTS Media