BTS Media

TI-Malaysia gesa tubuh RCI siasat skandal Pembinaan PFI RM50b, setelah dakwa SPRM senyap

Oleh Yusoff A. Shariff

TRANSPARENCY International Malaysia (TI-M) menggesa ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal Pembinaan PFI Sdn Bhd yang dibangkitkan pada 2018, selepas syarikat itu melaporkan hutang sebanyak RM50 bilion.

Dalam satu kenyataan, Presiden TI-M Muhammad Mohan mendakwa tiada perkembangan nyata berhubung isu itu dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun yang sama, selepas temu bual dengan Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming.

Beliau juga berkata bahawa TI-M menyertai The Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4 Centre) dan masyarakat sivil dalam meminta ditubuhkan RCI untuk menyiasat skandal itu, berserta pendedahan telus kepada Parlimen “untuk mengelak wujudnya satu lagi 1MDB, SRC International atau Sabah Watergate”.

Muhammad berkata, dana pencen dan persaraan rakyat bukanlah sumber pembiayaan tanpa direkod bagi projek berisiko dan boleh dipersoalkan.

Dalam kenyataannya itu, Muhammad merujuk kepada laporan Pusat C4 bertajuk “PFI: The Search for Accountability” (di sini) baru-baru ini yang menegaskan bahawa Pembinaan PFI Sdn Bhd telah memperoleh pinjaman berjumlah RM30 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Cagaran bagi pinjaman itu adalah tanah kerajaan yang dipajak kepada Pembinaan PFI Sdn Bhd oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, tambahnya.

“Pembinaan PFI kemudian menyewakan semula lot tanah yang sama kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dengan jumlah RM29 bilion untuk membayar balik pinjaman daripada KWSP. TI-M berasa terkejut kurangnya akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan projek negara dan pengendalian kes ini seperti yang dilaporkan,” kata Muhammad semalam.

“Apabila inisiatif ‘pembiayaan persendirian’ ini dijamin dan dibiayai oleh agensi kerajaan, dan pembiayaan disediakan oleh bank yang kebanyakannya dimiliki oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC); seseorang mesti bertanya, adakah projek-projek ini hanya ‘swasta’ pada nama, untuk mengelakkan akauntabiliti?

“Sekiranya SPRM telah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes itu dan mendapati sama sekali tiada kesalahan berlaku, dan bercanggah dengan semua hasil penemuan C4 (menggunakan sumber awam) maka itu SPRM harus membersihkan nama GLC dengan (mengemukakan) penemuan mereka.

“Tambahan pula, di manakah pendedahan dan maklumat terkini Suruhanjaya Tanah Persekutuan dan Pembinaan PFI Sdn Bhd mengenai projek bernilai tinggi ini, lebih sedekad sejak ia ditubuhkan?”

PFI ialah satu bentuk perkongsian awam-swasta di mana projek awam dibiayai oleh syarikat konsesi sektor swasta yang kemudiannya mendapat bayaran balik sepanjang tempoh konsesi.

PFI sepatutnya diuruskan sepenuhnya oleh Unit Perkongsian Awam-Swasta, sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

-BTS Media

Leave a Comment