BTS Media

Rasuah: US Marshals tawar ganjaran AS$40,000 tangkap warga Malaysia ‘Fat Leonard’

Oleh Zainal AS Rashid

KERAJAAN Amerika Syarikat pada Jumaat menawarkan ganjaran AS$40,000 (RM180,000) untuk menangkap warga Malaysia “Fat Leonard,” yang melarikan hanya beberapa minggu sebelum dia dijatuhkan hukuman kerana didapati terbabit skandal rasuah terbesar dalam sejarah ketenteraan negara itu.

Menurut ibu pejabat US Marshals AS di Virginia, Leonard Glenn Francis telah memotong gelang pemantauan pada kakinya pada kira-kira pukul 7:35 pagi Ahad (4 Sept) di sebuah rumah di San Diego, California di mana dia ditahan, lapor AP.

Francis mengaku bersalah pada 2015 kerana merasuah beberapa pihak tertinggi Tentera Laut AS dengan pelacur, penginapan di hotel mewah, cerut, hidangan gourmet dan lebih AS$500,000 (RM2.25 juta) bagi mendapatkan kontrak bekalan barangan untuk syarikatnya, Glenn Defense Marine Asia Ltd (GDMA).

Pendakwa raya berkata syarikat itu mengenakan caj berlebihan sekurang-kurangnya AS$35 juta (RM157.4 juta) kepada Tentera Laut AS untuk perkhidmatan bekalan kepada kapal, di beberapa pelabuhan bawah pengaruh Francis di rantau Pasifik.

Sejumlah 10 agensi penyiasatan dan penguatkuasaan undang-undang AS sedang memburu Francis.

Pihak berkuasa AS juga mengeluarkan notis merah, yang meminta penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia menahannya untuk ekstradisi.

Malaysia dan Singapura mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Amerika Syarikat.

-BTS Media

Leave a Comment