BTS Media

Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland

GAMBAR ATAS: Joel Rouse/ Ministry of Defence, OGL 3 <http://www.nationalarchives.gov.uk/doc/open-government-licence/version/3>, via Wikimedia Commons

 

Oleh Fetty Rara

RATU Elizabeth II, raja paling lama bertakhta dalam sejarah British telah meninggal dunia pada usia 96 tahun.

Kemangkatannya diumumkan oleh pihak Istana Buckingham di London dalam satu kenyataan ringkas semalam.

Susulan itu, 10 hari berkabung diisytiharkan untuk seluruh Britain.

“Ratu Elizabeth mangkat dalam keadaan tenang di Istana Balmoral , Aberdeenshire, Scotland petang ini,” kata kenyataan daripada Istana Buckingham pada pukul 6.30 petang (1730 GMT) waktu tempatan.

Dengan kemangkatan Elizabeth II, anak sulungnya, Putera Charles (Prince of Wales), 73 menggantikan beliau.

Kemangkatan Elizabeth II menyusul selepas Istana Buckingham sebelum ini mengumumkan bahawa pasukan doktor beliau menyuarakan kebimbangan dengan keadaan kesihatannya semalam, dan meminta beliau diletakkan di bawah pengawasan perubatan.

Kesemua anaknya, iaitu Charles, Puteri Anne, 72, Putera Andrew, 62, dan Putera Edward, 58 berada di kediaman persinggahan, Istana Balmoral.

Turut bersama keluarga itu, termasuk anak-anak Charles, Putera William dan Putera Harry.

Dua hari sebelum ini Elizabeth II telah melantik Liz Truss sebagai perdana menteri ke-15 United Kingdom. Walaupun kelihatan tersenyum, namun jelas keadaannya nampak lemah dan menggunakan tongkat.

Ratu Elizabeth II menaiki takhta pada usia 25 tahun pada 1952, dan seterusnya memegang kedudukan itu selama 70 tahun.

-BTS Media

Leave a Comment