BTS Media

Pegawai Istana Perak letak jawatan kerana video tular ‘kelab malam’

GAMBAR ATAS: Tariq.chow, Public domain, via Wikimedia Commons

 

Sultan Perak telah menerima peletakan jawatan seorang pegawai istana berikutan spekulasi mengenai identiti individu dalam video yang dirakam di sebuah kelab malam.

Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Perak Afifi Al-Akiti, menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Sultan Nazrin Shah hari ini, lapor Bernama.

Walaupun tidak mengaku bahawa beliau lelaki dalam video itu, namun Afifi antara lain menyatakan bahawa beliau berundur susulan penularan bahan tertentu melalui media sosial baru-baru ini, yang dianggap bertujuan memburukkan namanya.

Beliau memilih untuk tidak mengulas atau memberikan sebarang jawapan yang boleh mencetuskan perbahasan.

Menurut beliau lagi, post yang tular itu juga seolah-olah mempersoalkan kewajaran peranannya memandangkan beliau berkhidmat dengan institusi istana dan ia juga boleh mempertikaikan peranan beliau berhubung hal ehwal agama Islam negeri.

Menyedari perkara ini jika berpanjangan dan sekiranya tidak dibendung akan mencacatkan imej sultan dan institusi istana, Afifi berkata beliau menyerahkan surat tersebut bagi menyampaikan hasrat ikhlas untuk meletakkan jawatan daripada bergelar Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan,” katanya dipetik oleh Bernama.

Setiausaha Dewan Negara Perak Ayop Hashim berkata Afifi menyerahkan surat itu hari ini, bagi memohon perkenan Sultan Nazrin untuk meletakkan jawatan.

Baginda merakamkan penghargaan di atas segala khidmat Afifi sepanjang memegang jawatan sebagai Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan dan berkenan peletakan jawatan itu berkuat kuasa hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

-BTS Media

Leave a Comment