BTS Media

IS mengaku bertanggungjawab serangan berani mati berhampiran kedutaan Rusia

KUMPULAN Daesh (IS) mengaku bertanggungjawab atas pengeboman berani mati di Kabul pada Isnin (5 Sept).

Letupan yang berlaku tidak jauh dari pintu masuk ke kedutaan Rusia itu mengorbankan 25 orang, termasuk dua kakitangan kedutaan.

Daesh mendakwa serangan tersebut dilakukan oleh seorang anggotanya yang merupakan warga asing.

Menurut beberapa laporan, serangan dilancarkan oleh cabang Daesh, ISIS-K.

Ini merupakan serangan pertama ke atas misi diplomatik di Afghanistan yang dituntut oleh Daesh sejak negara itu diambil alih oleh Taliban pada 2021, lapor rt.com.

Terdahulu, Jawatankuasa Penyiasatan Rusia mengesahkan bahawa seorang penolong setiausaha dan seorang pengawal keselamatan – kedua-duanya warga Rusia – terbunuh dalam letupan itu.

Menurut laporan media, kebanyakan mangsa adalah warga Afghanistan yang sedang beratur untuk mendapatkan visa.

Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov berkata bahawa keselamatan di misi berkenaan dipertingkatkan susulan serangan itu.

Rusia adalah antara beberapa negara yang mengekalkan kedutaan di Kabul sejak Taliban berkuasa di Afghanistan setahun lalu.

Sejak pengambilalihan oleh Taliban pada 2021, Afghanistan telah berulang kali menyaksikan serangan pengganas, yang didakwa angkara kumpulan Daesh ISIS-K.

Pada pertengahan Ogos, serangan ke atas sebuah masjid di Kabul sewaktu solat maghrib, telah menyebabkan berpuluh orang terbunuh.

-BTS Media

Leave a Comment