BTS Media

PRU15: Khairy diminta ‘beri laluan’ kepada Tok Mat di Rembau

KHAIRY Jamaluddin pada Ahad (4 Sept) mengesahkan bahawa beliau telah diminta kosongkan kerusi Parlimen Rembau di Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada timbalan presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ahli Parlimen Rembau selama hampir 15 tahun itu berkata beliau akan akur kepada arahan parti, tetapi tidak pasti sama ada akan bertanding pada pilihan raya umum ke-15.

Beliau memberitahu media di Seri Setia 2, Kuala Lumpur bahawa beliau telah dimaklumkan supaya bertukar ke kawasan lain.

Menurut Khairy, keputusan itu dibuat memandangkan Mohamad merupakan ketua UMNO bahagian Rembau, dan beliau timbalan, lapor Malay Mail.

Khairy yang menjadi ahli parlimen Rembau sejak 2008 berkata beliau tidak memikirkan di mana lagi beliau akan bertanding.

Beliau berkata, selama lebih 20 tahun perjalanan politiknya di Rembau dan hampir 15 tahun menjadi ahli parlimen Rembau, beliau tidak pernah terfikir untuk menjadi calon di kawasan lain.

Bagi Khairy, mengapa beliau perlu berfikir untuk berpindah ke kawasan lain sedangkan beliau berada di Rembau selama 15 tahun, tetapi apabila beliau diminta untuk berpindah, beliau perlu bekerja keras untuk mencari kawasan baharu yang boleh menerimanya.

Beliau masih belum menerima sebarang arahan, namun jika perlu ke kawasan lain, beliau  mengaku berasa malu kerana menyusup ke kawasan orang.

Khairy menjelaskan bahawa dalam UMNO, politiknya ialah seseorang itu bertanding di kawasan di mana dia menyumbang.

Mohamad mengesahkan semalam bahawa beliau akan mempertahankan kerusi DUN Rantau yang disandangnya sejak 2004, namun pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa beliau mungkin bertanding di kerusi persekutuan pada PRU15 akan datang.

-BTS Media

Leave a Comment