KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) akan menyerahkan kes pelajar PhD warga asing yang mendakwa penyelidikannya telah dicuri oleh penyelia di Universiti Malaya (UM), yang tular di media sosial baru-baru ini, kepada UM dan polis untuk tindakan lanjut.
Menteri KPT Noraini Ahmad memberitahu media di Bagan Serai pada Sabtu (3 Sept) bahawa UM telah membuat laporan polis dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa berkaitan.
Beliau memberikan respons ini ketika diminta mengulas perkembangan isu tular seorang pelajar asing membuat laporan polis terhadap UM yang mendakwa penyelidikannya diambil tanpa pengetahuannya.
Dalam klip video sepanjang lebih satu minit, pelajar itu mendakwa telah menghabiskan masa hampir dua tahun untuk menamatkan pengajian, dan kecewa apabila mendapati kajiannya dicuri oleh pihak universiti.
Pada 29 Ogos lalu, UM mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan itu dan berkata adalah menjadi dasar universiti bahawa penyelidikan dan pengajian akademik pelajarnya adalah hak milik universiti.
UM telah membuat laporan polis untuk menyangkal tuduhan pelajar itu, dan tindakan undang-undang yang sewajarnya sedang dipertimbangkan.
Pihak universiti berkata mereka telah menyediakan peluang dan sumber untuk membantu pelajar tersebut menghabiskan PhD, termasuk pelanjutan tempoh pengajian selama tiga semester selepas tempoh maksimum 12 semester, dengan yuran ditaja oleh fakulti.
Bagaimanapun, UM berkata, pelajar itu tidak menamatkan pengajian dalam tempoh lanjutan yang diberikan, dan UM turut menyediakan beberapa sesi kaunseling serta melantik penyelia tambahan untuk membantunya.
-BTS Media