Oleh Fetty Rara
PENGERUSI Lukoil, sebuah syarikat minyak dan gas Rusia dilaporkan maut selepas terjatuh daripada tingkat enam sebuah hospital di Moscow, menurut agensi berita TASS.
Agensi itu memetik sumber bahawa Ravil Maganov jatuh daripada tingkap di tingkat enam bangunan hospital dan kemudian meninggal dunia kerana kecederaan serius, lapor CNN.
Lukoil mengesahkan kematian pengerusinya pada Khamis dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman web syarikat itu.
Bagaimana pun, kenyataan tersebut berkata Maganov “meninggal dunia berikutan penyakit yang teruk,” tanpa menyebut bahawa beliau jatuh daripada tingkat enam hospital.
Maganov, menurut syarikat itu lagi, telah banyak berjasa kerana menyumbang kepada pembangunan bukan sahaja syarikat, tetapi keseluruhan sektor minyak dan gas Rusia.
Lukoil, yang merupakan syarikat minyak dan gas kedua terbesar di Rusia, menjadi tajuk utama pada Mac apabila ia menggesa “untuk penamatan konflik bersenjata secepat mungkin” di Ukraine.
Syarikat itu mengeluarkan lebih daripada dua peratus minyak mentah dunia, dan mempunyai lebih 100,000 pekerja.
Agensi berita kerajaan Rusia, Ria Novosti pula memetik sumber penguat kuasa keselamatan sebagai berkata bahawa Maganov “mungkin membunuh diri.”
Menurut beberapa laporan CNN sebelum ini, sekurang-kurangnya lima tokoh perniagaan terkemuka Rusia didakwa telah membunuh diri sejak Januari lepas.
-BTS Media