FAKTA jelas menunjukkan “kebenaran mudah” bahawa bekas perdana menteri Najib Razak tidak menafikan bahawa RM42 juta sebelum ini telah masukkan ke akaun banknya, kata lapan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia.
Dalam satu kenyataan pada Selasa (30 Ogos), mereka mengetengahkan beberapa fakta utama mengenai kes Najib yang melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Sambil menyatakan Najib mendakwa bahawa RM42 juta itu adalah derma, mereka menegaskan bahawa ketiga-tiga mahkamah di Malaysia yang mendengar kesnya, iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, telah menolak dakwaan itu.
“Walaupun proses sewajarnya adalah penting, namun penting juga untuk mengingatkan diri kita tentang fakta kes ketika dibentangkan di hadapan Mahkamah. Perayu tidak menafikan bahawa RM42 juta telah dimasukkan ke akaun bank peribadinya.
“Beliau, bagaimanapun, menafikan pengetahuan bahawa dana itu daripada SRC. Beliau juga menyatakan bahawa wang yang dikreditkan ke dalam akaun bank Am Islamnya adalah daripada derma Arab,” kata mereka.
“Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan secara serentak mendapati bahawa penjelasan Perayu tidak boleh dipertahankan. Mahkamah Persekutuan bersetuju bahawa itu adalah kesimpulan yang munasabah,” tegas mereka sambil menyatakan bahawa mahkamah membuat kesimpulan ini berdasarkan keterangan yang dikemukakan kepada hakim.
Kesemua lapan bekas presiden Majlis Peguam itu juga menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku dalam rayuan terakhir Najib di Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC.
Mereka dengan tegas berkata adalah “palsu” bagi sesiapa yang mencadangkan bahawa Najib tidak diberi peluang untuk membentangkan hujahnya dalam rayuan SRC terakhirnya.
Sebaliknya, mereka berkata Najib sendiri yang memilih untuk tidak mengemukakan hujah kepada Mahkamah Persekutuan, walaupun hakim memberikan beliau banyak peluang untuk berbuat demikian.
“Oleh itu, adalah sangat jelas bahawa Mahkamah Persekutuan telah memberi peguam kepada Perayu, Najib Razak, peluang untuk membuat penghujahan mengenai merit tetapi beliau berulang kali enggan berbuat demikian. Perayu melalui peguamnya telah sengaja memilih untuk TIDAK membuat penghujahan atas merit.
“Oleh itu, naratif bahawa tiada proses wajar diberikan kepada Perayu adalah palsu. Kedudukan yang betul ialah Peguam Perayu enggan mengemukakan Rayuan walaupun pelbagai peluang diberikan kepadanya untuk berbuat demikian,” kata mereka.
Kenyataan itu ditandatangani oleh lapan bekas presiden Majlis Peguam yang terdiri daripada Zainur Zakaria, Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Lim Chee Wee, Steven Thiru, dan George Varughese.
Mereka juga menyatakan “sokongan penuh” kepada presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
Cheah menghadapi kemungkinan saman fitnah daripada peguam SRC Najib, Hisyam Teh Poh Teik dan oleh bekas peguam SRC Najib, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim bersama rakan firma guamannya Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam , yang dilepaskan secara tiba-tiba semasa rayuan SRC.
Ini berikutan kenyataannya sebagai presiden Majlis Peguam Malaysia berhubung dakwaan cubaan — dikatakan dilihat dalam kes SRC — untuk menjejaskan sistem keadilan Malaysia dan mendakwa bahawa peguam-peguam berkenaan bertindak secara tidak profesional.
Menyedari bahawa badan kehakiman sedang diserang, termasuk melalui dakwaan palsu dan kononnya berlaku kebocoran dokumen mahkamah, lapan bekas presiden itu pada Selasa (30 Ogos) memuji para hakim atas keberanian mereka untuk memberikan keadilan.
“Oleh itu, kami berdiri bersama Majlis Peguam Malaysia dalam mempertahankan hakim yang berani kerana menjunjung sumpah jawatan mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata mereka.
Majlis Peguam Malaysia ialah badan profesional yang setakat 27 Jun mewakili sejumlah 21,659 peguam di Semenanjung Malaysia dan wilayah persekutuan.
Statement by Past Presidents-(FINAL)030.8.2022(1)-BTS Media