BTS Media

Rosmah mohon batal kelayakan hakim dua hari sebelum keputusan rasuah

GAMBAR ATAS: Malay Mail.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

ISTERI bekas perdana menteri Najib Razak,Rosmah Mansor memohon dibatalkan kelayakan hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan, yang mendengar perbicaraan rasuahnya dan dijadualkan mengumumkan keputusannya esok.

Peguam Akberdin Abdul Kader mengesahkan kepada Malay Mail bahawa permohonan itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam (Selasa 30 Ogos).

Dalam permohonan itu, Rosmah mahu supaya Zaini menarik diri daripada mendengar, membuat sebarang keputusan atau perintah berkaitan perbicaraan rasuahnya, serta sebarang prosiding atau permohonan berkaitan.

Rosmah yang disabitkan kesalahan itu juga mahu supaya mahkamah menangguhkan pengumuman keputusan perbicaraan sehingga permohonannya diputuskan.

Dia juga mahukan supaya hakim baharu menggantikan Zaini.

Akberdin mengesahkan bahawa pagi esok pasukan peguam Rosmah akan meminta Zaini mendengar permohonan penarikan diri itu terlebih dahulu, sebelum beliau menyampaikan keputusannya sama ada untuk mensabitkan atau membebaskan Rosmah dalam kes rasuah tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib secara berasingan mengesahkan bahawa pihak pendakwaan telah menerima permohonan Rosmah ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, pihak pendakwaan akan membantah permohonan ini.

Rosmah didakwa pada November 2018 dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin berhubung kontrak kerajaan tenaga hibrid solar RM1.25 bilion untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Perbicaraannya secara rasmi bermula pada Februari 2020.

Perbicaraan berakhir pada Februari lepas, dengan 23 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan, termasuk Rosmah, memberi keterangan dalam tempoh dua tahun ini.

-BTS Media

Leave a Comment