BTS Media

Kereta Ford Escort Lady Diana dilelong pada harga lebih RM3 juta

GAMBAR ATAS: FOX7 Austin.

 

MENJELANG ulang tahun ke-25 kematian Puteri Diana, kereta Ford Escort yang pernah dipandunya telah dilelong pada harga £650,000 (RM3.4 juta).

Semasa dia masih hidup, Puteri Diana sering dilihat memandu Ford Escort RS Turbo 1985 itu antara 1985 dan 1988.

Model yang dipasang ciri-ciri keselamatan khas itu sering dilihat di sekitar London atau di luar butik kawasan Chelsea dan restoran Kensington, lapor agensi Deutsche Presse-Agentur DPA.

Kedua-dua anaknya, Putera William dan Harry juga kerap berada di tempat duduk belakang bersama dengan seorang pegawai keselamatan.

Model Ford Escort tiga pintu dengan enjin berkuasa kuda 130 itu dicat hitam dengan jalur biru bagi membezakannya daripada lain yang hanya berwarna putih.

Bahagian kejuruteraan kenderaan khas syarikat Ford ditugaskan untuk mengecat kereta tersebut dan memasang gril khas bahagian hadapan untuk menyembunyikan ciri-ciri keselamatan elektronik yang dianggap canggih pada masa itu.

Kereta itu telah diserahkan semula kepada syarikat Ford pada Mei 1988 dengan meter mencatatkan hanya kira-kira 10,000 kilometer.

Diana, Puteri Wales, maut dalam satu kemalangan jalan raya di terowong Pont de l’Alma di Paris, Perancis, pada awal pagi 31 Ogos 1997.

-BTS Media

Leave a Comment