BTS Media

Zaid beri amaran saman presiden Majlis Peguam kerana fitnah jika tidak mohon maaf

PEGUAM Zaid Ibrahim dan dua rakan kongsi firmanya menuntut supaya ditarik balik dan memohon maaf sepenuhnya tanpa berbelah bagi daripada presiden Majlis  Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn berhubung kenyataan akhbar yang didakwa sebagai “fitnah serius” terhadap mereka dalam kes rayuan SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Zaid, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavanam berkata mereka akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Cheah jika penarikan balik dan permohonan maaf tidak dibuat menjelang 2 September.

Mereka mendakwa bahawa siaran akhbar pada 19 Ogos, yang menjadi asas kepada laporan berita disiarkan oleh The Edge Markets, Malay Mail dan The Star pada hari yang sama, adalah “palsu dan berniat jahat” berhubung tindakan mereka dalam rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan.

Dikeluarkan pada 26 Ogos melalui firma guaman mereka, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, surat itu merujuk kepada beberapa perenggan dalam kenyataan akhbar Cheah yang didakwa oleh peguam-peguam tersebut sebagai menunjukkan bahawa mereka “tidak mengambil kira sama ada tuduhan yang diadukan (adalah) benar”.

Kesemua perenggan berkenaan, dakwa surat itu, seolah-olah menunjukkan bahawa mereka “sengaja bertindak secara tidak profesional”, “dengan agenda tidak wajar untuk menyalahgunakan proses mahkamah”, menggunakan “strategi tidak bertanggungjawab”, bahawa “tindakan mereka direka untuk menyelewengkan haluan keadilan” dan “mencemarkan nama baik profesion undang-undang”.

Mereka juga mendakwa bahawa kenyataan Cheah menjurus kepada sikap “tidak profesional, tidak cekap dan jahil mengenai peraturan, amalan dan etika profesional”, “tidak hirau menyalahgunakan proses mahkamah”, bertindak menghina mahkamah secara terang-terangan” dan ” tidak sesuai diamalkan sebagai peguam bela dan peguam cara”.

Menganggap kenyataan itu sebagai “palsu dan keji”, surat itu menambah bahawa “dengan menerbitkan dan menyebarkan kenyataan akhbar dan menyebabkan kenyataan yang disangkal itu disiarkan (oleh) portal berita dalam talian, (Cheah) bermaksud untuk dan memang memastikan agar kenyataan itu diberikan liputan meluas … dalam kalangan rakyat Malaysia…dan masyarakat antarabangsa”.

Selain permohonan maaf, surat itu meminta Cheah tidak mengulangi kenyataan sedemikian mengenai mereka, dan menuntut pampasan kos dan perbelanjaan yang munasabah, lapor FMT.

-BTS Media

Leave a Comment