MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dicabar oleh Rafizi Ramli supaya menyaman beliau dan Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) berhubung identiti seorang wanita yang didakwa menyalahgunakan dana untuk projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.
Timbalan presiden PKR itu sebelum ini berkata wanita tersebut, Zainab Mohd Salleh, adalah isteri kedua Latiff, sambil menambah bahawa laporan audit BHIC yang didedahkan baru-baru ini turut menamakan Zainab sebagai pasangan Latiff.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat (26 Ogos), Rafizi berkata sekiranya Latiff mahu pun keluarganya tidak mempunyai kaitan dengan Zainab dalam projek LCS, dia harus segera saman BHIC, Alliance IFA Sdn Bhd (firma yang menjalankan audit forensik BHIC) dan dirinya.
Terdahulu, hari ini, Latiff tegas berkata melalui catatan Facebook bahawa beliau tidak mempunyai isteri bernama Zainab Salleh. Beliau juga menegaskan bahawa “tiada seorang pun ahli keluarga saya terlibat dalam perniagaan membekal atau membina kapal tempur pesisir”.
Latiff sebelum ini menafikan wanita itu adalah isterinya, dan berkata beliau bersedia bekerjasama kepada pihak berkuasa jika perkara itu disiasat.
Rafizi berkata penafian terbaharu Latiff itu membayangkan bahawa beliau gagal mengemukakan “sebarang bukti kukuh” bagi menyangkal dakwaan berkenaan, dan dokumen dalam laporan audit BHIC.
Pada 22 Ogos Rafizi mendakwa bahawa isteri Latiff adalah pemilik dua syarikat yang telah menyalurkan dana daripada projek LCS.
Beliau mendakwa syarikat itu dilantik sebagai perunding teknikal dan pembekal alat ganti, dan telah mengemukakan invois bagi kerja yang tidak pernah dilakukan.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga mendakwa bahawa kedua-dua syarikat berkenaan mempunyai nama yang serupa dengan sebuah syarikat Perancis dan didaftarkan sebagai syarikat luar pesisir di Malta dan Labuan, dan bahawa sebanyak RM243 juta telah diselewengkan.
Beliau juga mendakwa perancangan untuk menyalahgunakan dana LCS menggunakan syarikat didakwa ada kaitan dengan Latiff, yang merupakan timbalan menteri pertahanan dari 2008 hingga 2013, bukannya kebetulan.
-BTS Media