Oleh Yusoff A. Shariff
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata tiada ahli keluarganya terlibat dalam perniagaan membabitkan pembekalan atau pembinaan projek kapal tempur pantai (LCS).
Melalui satu catatan Facebook hari ini ( Jumaat 26 Ogos) beliau berkata, “Isteri atau isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Mohd Salleh, dan tiada ahli keluarga saya terlibat dalam bisnes pembekalan atau pembinaan kapal LCS.”
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Mersing berkata sebagai wakil rakyat kawasan berhampiran laut dan pulau, beliau suka makan ikan, tetapi bukan jerung.
Catatan beliau diakhiri dengan pantun Melayu lama yang diubah suai,
Siakap senohong gelama ikan duri,
Cakap bohong lama-lama jadi pencuri,
Siakap senohong gelama ikan jerung,
Cakap pembohong tak lama mati jadi jerangkung.
Pada 22 Ogos, timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menamakan Abdul Latiff sebagai seorang lagi pemain utama dalam skandal LCS.
Rafizi mendakwa syarikat yang dikaitkan dengan isteri kedua bekas timbalan menteri pertahanan, terlibat dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS).
Sebelum ini, timbalan presiden PKR itu dalam satu kenyataan telah mengaitkan seorang wanita bernama “Zainab Mohd Salleh” dengan sebuah syarikat luar pesisir yang mempunyai unit diperbadankan di kawasan kewangan luar pesisir pantai di Malta dan Labuan.
Dia kemudian menjelaskan melalui Twitter bahawa “Zainab Salleh” yang dimaksudkannya bukanlah ketua pegawai kewangan (CFO) syarikat Dialog.
Dia juga mendakwa “Zainab Mohd Salleh” adalah isteri kedua kepada Abdul Latiff.
Laporan forensik yang didedahkan mengenai skandal LCS ke atas Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) turut menamakan sepasang suami isteri, Abdul Latiff Ahmad dan Zainab Mohd Salleh, sebagai individu yang dikaitkan dengan Alizes Marine Ltd, sebuah syarikat yang disebut kerana dikaitkan dengan transaksi mencurigakan dalam perjanjian alat ganti.
Laporan itu menyebut lebih banyak peranan Zainab berbanding Abdul Latiff. Walaupun laporan itu tidak spesifik, dipercayai Abdul Latiff yang disebut merujuk kepada bekas timbalan menteri pertahanan itu.
Zainab dikatakan pemegang saham dan pengarah Alizes Marine Ltd berpangkalan di Malta, manakala Intralogisitics Ltd yang berdaftar di Labuan pula memiliki Alizes Marine Labuan dan Sousmarin Armada Sdn Bhd.
“BHIC mengesyaki berlaku penyelewengan serius dalam proses perolehan pelbagai alat ganti oleh Boustead Penang Shipyard. Kontrak dianugerahkan oleh Boustead DCNS Naval Corp Sdn Bhd.”
“Kebanyakan perolehan dibuat melalui Alizes Marine, tetapi terdapat beberapa akaun atas nama Alizes Marine. Ini dibuat untuk menyamar sebagai Alizes Marine France supaya pembayaran boleh disalurkan kepada pihak ketiga,” tambahnya.
BDCNS ialah usaha sama antara BHIC dan DCNS, yang ditubuhkan pada 2009 untuk penyelenggaraan kapal dan perkhidmatan.
-BTS Media