Oleh Zainal AS Rashid
MAHKAMAH Rayuan hari ini (Jumaat 26 Ogos) menyuarakan rasa tidak senang terhadap bekas pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang gagal hadir ke mahkamah untuk rayuannya berhubung pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Ahli politik UMNO itu diberi amaran agar tidak menyalahgunakan proses mahkamah.
Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, yang mengetuai panel tiga anggota, memberitahu peguam ahli Majlis Tertinggi UMNO itu bahawa adalah tidak wajar bagi ahli politik itu tidak hadir ke mahkamah kerana kes berkenaan telah ditunda banyak kali.
Menurut Kamaludin, keadaan kesihatannya tidak dipertikaikan, tetapi jangan disalah guna proses (mahkamah).
Terdahulu, peguam utama Abdul Azeez, Amer Hamzah Arshad memaklumkan panel, yang turut dianggotai Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, bahawa anak guamnya mengalami gastroenteritis pada pukul 2.00 pagi hari ini dan telah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaysia, lapor NST.
Perbicaraan hari ini diadakan bagi memutuskan rayuan Abdul Azeez supaya mahkamah membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
Mahkamah sepatutnya memutuskan perkara itu bulan lalu, tetapi ditangguhkan selepas Amer memberitahu panel bahawa beliau telah membuat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk pertuduhan terhadap anak guamnya digugurkan.
Bagaimanapun, hari ini beliau memaklumkan kepada hakim bahawa beliau telah menulis tidak kurang daripada empat surat representasi kepada AGC, tetapi tidak menerima sebarang jawapan.
“Kami mengharapkan keputusan muktamad daripada AGC, tetapi tidak menerima apa-apa,” katanya.
Beliau sebelum ini berkata surat representasi itu dihantar kepada AGC selepas beliau dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa terdapat petunjuk baharu yang sedang mereka teliti dan SPRM bersedia memberi taklimat kepada AGC mengenai perkembangan baharu itu.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 5 September untuk memutuskan rayuan Abdul Azeez.
Ahli parlimen Baling itu berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM5.2 juta dan 10 kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta.
Pertuduhan rasuah yang dihadapi Abdul Azeez adalah berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, manakala pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang yang didakwa diterimanya daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.
Dia didakwa menerima wang secara rasuah di Bank CIMB, Jalan Tun Perak Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor, pada 13 Jun 2017, dan 10 April 2018.
Mengenai pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.
Beliau telah memohon campur tangan Mahkamah Rayuan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan selepas mengaku bahawa tuduhan terhadapnya berniat jahat.
Abdul Azeez, 55, telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Mac tahun lepas yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan itu.
-BTS Media