Remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella hadir di Mahkamah Sesyen untuk sesi pengecaman oleh tiga saksi dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad memberitahu mahkamah, selain Bella terdapat lima lagi individu berumur antara tiga hingga 17 tahun hadir ke mahkamah bagi sesi pengecaman itu.
“Mereka hadir hari ini untuk sesi pengecaman,” katanya sebelum perbicaraan kes Siti Bainun bermula.
Sebelum ini, semua mereka berada di bawah jagaan Siti Bainun di rumah perlindungan berkenaan.
Sesi pengecaman itu akan dilakukan oleh tiga saksi, iaitu pembantu pengurus syarikat Zurianty Sudin, 39, penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood, 19, dan pegawai penyelidik undang-undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam, 40.
Bella dibawa memasuki bilik saksi pada 9.50 pagi oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan disambut oleh peguam Khairul Anwar Rahmat yang dilantik oleh Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku peguam pemerhati.
Terdahulu, Bella tiba di mahkamah dengan bertudung dan berkemeja berwarna biru serta seluar hitam sambil menunjukkan isyarat “mini love” kepada jurugambar.
Sementara itu, Khairul Anwar ketika ditemui pemberita berkata, pasukan peguam pemerhati menyambut Bella dan remaja itu berada dalam keadaan sihat.
“Diharap keadaan anakanda Bella kekal stabil sehingga selesai prosiding hari ini terutama ketika proses pengecaman saksi sebentar lagi.
“Pihak peguam pemerhati merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada JKM kerana telah melindungi dan menjaga anakanda Bella sehingga kembali sihat,” katanya.
Seramai lapan saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam kes itu dan hari ini Suhana, yang juga saksi pendakwaan kelapan akan menyambung keterangannya.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Perbicaraan berjalan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi.