Oleh Fetty Rara
HAKIM Mahkamah Rayuan Vazeer Alam Mydin Meera telah menarik diri daripada mendengar rayuan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berhubung penolakan samannya terhadap Lim Guan Eng dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Hakim Vazeer Alam yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata beliau memutuskan untuk menarik diri daripada mendengar rayuan itu kerana mempunyai kaitan dengan pihak terbabit.
Oleh itu, pada permulaan prosiding secara maya pada Khamis (8 Sept) beliau menangguhkan perbicaraan ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian oleh pendaftar.
Dua lagi hakim ialah Hadhariah Syed Ismail dan Mariana Yahya.
Mahkamah dijadualkan mendengar rayuan Abdul Azeez terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 12 Nov 2020, yang menolak samannya terhadap bekas Ketua Pulau Pinang itu berhubung pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Peguam Porres Royan mewakili Abdul Azeez, manakala Lim diwakili N.Mureli.
Dalam saman Abdul Azeez difailkan pada Mac 2018, beliau mendakwa Lim, yang ketika itu Menteri Kewangan, telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah semasa sidang media di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang pada 28 Feb 2018.
Lim juga didakwa berbuat demikian semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama, yang mengaitkan beliau (Abdul Azeez) dengan bayaran RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong dasar laut itu.
Abdul Azeez mendakwa kenyataan itu mendapat liputan meluas dan diterbitkan di beberapa laman web, laman berita elektronik dan akhbar tempatan, dan dengan itu menuntut, antara lain, ganti rugi am dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Beliau juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula kenyataan tersebut.
-BTS Media