BTS Media

Penghormatan syuhada: Jalan, biasiswa diberi nama wartawan Shireen Abu Akleh yang dibunuh tentera Israel

GAMBAR ATAS: Anadolu.

 

LEBIH 100 hari selepas wartawan Palestin Shireen Abu Akleh dibunuh di Jenin, Tebing Barat, ratusan rakyat Palestin dan penyokong berkumpul di Ramallah untuk upacara penghormatan menamakan sebatang jalan raya sempena wartawan veteran Palestin itu.

Jalan tersebut merupakan laluan yang saban hari digunakan oleh Shireen untuk pergi bekerja di pejabat rangkaian Al-Jazeera Ramallah dan juga lokasi dia membuat liputan langsung segala kejadian di Palestin, lapor Anadolu.

Majlis Bandaraya Ramallah mengumumkan jalan baharu itu dengan disaksikan oleh keluarga dan penyokong Shireen. Turut dirasmikan, sebuah monumen di tempat Shireen berdiri setiap kali dia menghadap kamera untuk membuat liputan berita.

Monumen itu mengabadikan simbol Shireen sebagai wartawan dalam kalangan penduduk Palestin yang rata-rata menganggapnya sebagai suara mereka.

Jurucakap Majlis Bandaraya Ramallah, Maram Totah berkata, dengan memahat nama Shireen di situ adalah satu cara untuk menghormati mereka yang berkorban dalam perjuangan Palestin.

Sebelum ini juga jalan-jalan bandar sentiasa dinamakan sempena para syuhada dan pejuang yang membawa perjuangan sejak daripada masa mereka masih hidup hingga akhir hayat.

Dalam pada itu, beberapa universiti telah melancarkan biasiswa dan hadiah akademik sempena nama Shireen, termasuk Universiti Birzeit, Universiti Al-Quds dan Universiti Amerika-Arab di Jenin dan Beirut.

Dalam kalangan penduduk Palestin sendiri nama Shireen terus hidup apabila ramai anak-anak yang dilahirkan diberi nama Shireen.

-BTS Media

Leave a Comment