BEKAS perdana menteri Datuk Seri Najib Razak nampaknya akan diberikan layanan “lebih baik” semasa dipenjarakan, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ini berdasarkan maklumat yang diperoleh ketua pembangkang itu daripada kakitangan penjara.
Bagaimanapun, presiden PKR itu, yang pernah menjalani hukuman hingga sekitar 10 tahun di bawah hukuman berasingan, menegaskan bahawa masa yang dihabiskan di dalam penjara bukanlah sesuatu yang selesa.
Ini khususnya bagi seseorang seperti Najib yang sudah terbiasa dengan gaya hidup mewah, tambahnya.
Dalam temu bual dengan saluran berita Amerika Syarikat CNBC, Anwar mengimbau masanya di penjara, yang didakwanya lebih sukar daripada apa yang akan dilalui oleh Najib.
Bagaimanapun, ahli parlimen Port Dickson itu berkata ketika dipenjara beliau dapat merenung masa depan, menguatkan dirinya dari segi rohani dan mental, manakala kebanyakan masa dihabiskan untuk bermeditasi, membaca dan bersenam.
“Saya berada di penjara semasa era Tun Dr Mahathir Mohamad. Ia benar-benar jauh lebih sukar. Saya tidak mempunyai akses kepada buku, atau keluarga (lawatan) pada mulanya,” katanya.
“Di bawah kerajaan Najib, saya telah dimasukkan ke dalam lokap biasa, tidur berminggu-minggu di atas lantai, tanpa mengambil kira masalah belakang saya atau umur saya.
“Yang saya faham daripada rakan-rakan lama saya, pegawai penjara, saya rasa Najib akan diberi layanan yang lebih baik, dalam erti kata dia akan diberikan beberapa kemudahan.
Beliau berkata, penjara tetap penjara, bukan tempat selesa dan masih sukar, terutama jika dibandingkan dengan gaya hidupnya sekarang umpama di sebuah hotel tujuh bintang.
“Dia akan mengalami sesuatu yang sangat sukar,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Penjara menafikan dakwaan seorang pengguna media sosial bahawa Najib akan diberi layanan istimewa di Penjara Kajang.
Menyifatkan tuduhan itu sebagai palsu, jabatan tersebut menyangkal sebarang tanggapan kononnya Najib diberikan akses kepada makanan, katil, atau sel berhawa dingin yang lebih baik.
-BTS Media