Oleh Yusoff A. Shariff
JABATAN penjara menafikan khabar angin kononnya bekas perdana menteri Najib Razak menerima layanan istimewa di Penjara Kajang.
Dalam catatan Facebook pada Rabu (24 Ogos), jabatan itu minta dihentikan penyebaran maklumat palsu itu.
Jabatan itu merujuk kepada “gambar” tular keadaan sel penjara Najib yang bersih, luas, dilengkapi rak, dan meja seperti meja IKEA semalam.
Media sosial telah dibanjiri komen mengenai kemungkinan layanan VIP diberikan kepada Najib di penjara sejak Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.
Dia dibawa ke Penjara Kajang lewat petang semalam (Selasa 23 Ogos) berikutan keputusan mahkamah tertinggi.
Jabatan itu memberitahu FMT bahawa tiada layanan istimewa seperti itu diberikan kepada Najib, sambil menegaskan bahawa semua banduan dilayan sama. FMT juga telah menghubungi kementerian dalam negeri untuk mendapatkan komen.
Dakwaan mengenai layanan berbeza bagi banduan yang “istimewa” bukan perkara baharu kerana dari semasa ke semasa timbul dakwaan sedemikian.
Pada 11 Ogos 1989, Malay Mail melaporkan tentang dakwaan tokoh korporat Abdullah Ang yang, semasa ditahan di Penjara Kajang dibenarkan berulang-alik antara penjara dan bandar.
Dia dikatakan dilihat di kilang keluarganya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, tanpa pengawal dua hari sebelum dia sepatutnya dibebaskan.
Laporan itu berkata pemilik gerai berhampiran kilang itu melihatnya makan tengah hari, minum teh, dan sering ditemani oleh “individu seperti jutawan” dalam kereta mewah. Ang juga kadangkala didakwa membeli bungkusan makanan untuk dibawa pulang ke Penjara Kajang.
Dakwaan kelibatnya di luar penjara menjadi bahan perbualan orang ramai yang mempersoalkan bagaimana dia kononnya boleh keluar dari penjara dari semasa ke semasa.
Dia dikatakan sepatutnya bekerja di ladang orkid Jabatan Penjara di Mantin, Negeri Sembilan.
Ang, bekas pengarah urusan Malaysian Overseas Investment Corp, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Dis 1986 selepas dia mengaku bersalah atas kesalahan jenayah pecah amanah.
-BTS Media