GAMBAR ATAS: Bung Mokhtar antara yang hadir pada mesyuarat ketua bahagian UMNO hari ini / Foto: malaymail.com
KETUA-ketua bahagian UMNO, yang berkumpul untuk mesyuarat tergempar pagi tadi (22 Ogos), dilaporkan menuntut campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri supaya dalam menangguhkan rayuan terakhir Najib Razak atas sabitan SRC International.
Menurut portal berita The Vibes ini adalah antara beberapa permintaan utama yang dibuat oleh pemimpin UMNO pada mesyuarat tertutup yang dipengerusikan oleh presiden Datuk Ahmad Zahid Hamidi di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.
Naib presiden Ismail Sabri tidak hadir pada mesyuarat tersebut.
Sumber yang mengetahui perkara itu berkata, para pemimpin merayu Ismail Sabri supaya menggunakan kuasanya bagi mendapatkan lanjutan tiga bulan daripada ketua hakim negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat untuk Najib mendapatkan wakil peguam bela baharu.
Ini berlaku di tengah-tengah percubaan oleh pasukan pembelaan Najib yang diketuai oleh Hisyam Teh Poh Teik untuk mendapatkan lanjutan perbicaraan di mahkamah persekutuan bagi membolehkan mereka menyedia dan membuat hujah dengan secukupnya.
Selepas gagal, Hisyam turut memohon melepaskan diri daripada kes itu, tetapi ditolak oleh mahkamah.
Najib kemudiannya melepaskan peguam caranya firma Zaid Ibrahim Suflan TH Liew, justeru meninggalkan hanya Hisyam dan dua lagi – Low Wei Loke dan Kee Wei Lon sebagai peguam bersama.
Majoriti ketua bahagian UMNO tidak hadir pagi tadi, kata sumber lain. Ini menunjukkan keengganan mereka untuk meminta perdana menteri campur tangan dalam proses kehakiman.
Selain tuntutan lanjutan perbicaraan, pemimpin bahagian UMNO juga nampaknya meminta Ismail Sabri untuk memberi tekanan kepada Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun untuk meneruskan siasatan terhadap hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Nazlan merupakan hakim dalam perbicaraan SRC International Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila beliau menyampaikan keputusan bersalah pada Julai 2020, lalu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap pemimpin UMNO itu.
Menurut sumber itu yang dipetik oleh The Vibes, mereka mahu siasatan lanjut untuk menunjukkan bahawa terdapat unsur berat sebelah dalam keputusan Nazlan, dan mahu ia dibatalkan dan tidak sah, dengan seterusnya mengadakan perbicaraan semula.
Pada Jun lalu, Najib telah memfailkan permohonan di mahkamah tertinggi untuk mengemukakan keterangan lanjut bagi menunjukkan terdapat konflik kepentingan melibatkan Nazlan dan mahu perbicaraan mahkamah tingginya dibatalkan.
Satu lagi sumber memberitahu The Vibes bahawa tidak mungkin Ismail Sabri akan akur kepada desakan pemimpin UMNO itu kerana sebelum ini, dalam beliau telah beberapa kali mengulangi tidak akan campur tangan dalam proses kehakiman.
“Perdana Menteri telah menekankan tentang doktrin pengasingan kuasa dan beliau tidak boleh dan tidak akan campur tangan dalam proses undang-undang.”
Pada mesyuarat hari ini yang dipanggil oleh Zahid, difahamkan hanya 73 daripada 191 pemimpin UMNO bahagian hadir, majoriti daripada mereka sehaluan dan menyokong pendirian beliau dan Najib.
Bagaimanapun, The Vibes dimaklumkan bahawa pertemuan itu juga menjadi hangat setelah beberapa pemimpin menentang tuntutan untuk campur tangan dalam proses kehakiman.
Awal hari ini, dilaporkan bahawa jemputan yang dikeluarkan kepada pemimpin bahagian menyebut bahawa mesyuarat itu adalah bagi membincangkan “perkara sangat penting yang menjejaskan masa depan parti”.
Antara yang hadir, naib-presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh and Tan Sri Shahrir Samad.
Orang dalam parti juga menyatakan bahawa perkara lain dibincangkan termasuk kontroversi kapal tempur pesisir (LCS), yang dikatakan boleh menjejas imej parti menjelang pilihan raya umum.
Mesyuarat ditangguhkan pada sebelah petang, bagi membolehkan Zahid menghadiri perbicaraan rasuahnya sendiri, dan dijangka disambung lewat petang ini sebaik presiden parti kembali ke ibu pejabat.
-BTS Media