MELALUI catatan Facebook hari ini (22 Ogos), Rafizi Ramli mendakwa syarikat dikaitkan dengan isteri bekas timbalan menteri pertahanan, terlibat dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS).
Beliau berkata laporan siasatan dalaman mendedahkan nama wanita itu, dan dia didakwa mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat luar pesisir dengan unit yang diperbadankan dalam syarikat cukai seperti Malta dan Labuan.
Timbalan Presiden PKR itu berkata syarikat berkenaan juga dinamakan dalam dokumen yang terkandung dalam pangkalan data kebocoran luar pesisir Paradise Papers.
“Wanita itu juga merupakan pemegang saham dalam syarikat luar pesisir lain yang diperbadankan di Malta yang mempunyai saham dalam unit berpangkalan di Labuan.
Rafizi mendakwa bahawa syarikat itu adalah perbadanan palsu (dummy)” menyerupai syarikat Perancis sebenar yang mengeluarkan alat ganti.
Memetik kertas siasatan, Rafizi berkata syarikat itu dilantik sebagai pembekal alat ganti untuk projek LCS.
“Pelantikan itu berdasarkan maklumat palsu bahawa ia mempunyai lesen daripada kerajaan Perancis untuk mengeksport alat ganti pertahanan (padahal sebenarnya ia tidak mempunyai lesen sedemikian),” katanya.
Beliau mendakwa bahawa RM210 juta telah dibayar kepada syarikat Perancis itu, tetapi ia telah disalurkan kepada syarikat palsu yang ditubuhkan di bawah jurisdiksi kewangan luar pesisir.
Menurut Rafizi, syarikat itu juga dilantik sebagai perunding teknikal, walhal tidak mempunyai kepakaran.
“Mereka menghantar invois untuk kerja yang tidak siap. Sebanyak RM23.37 juta telah disalurkan melalui kaedah ini semasa awal projek, iaitu dari 2011 hingga 2014,” dakwanya.
“Semakan saya mendapati penyelewengan dana awam daripada projek LCS telah berlaku selama bertahun-tahun dan telah dirancang dengan baik”, katanya.
-BTS Media