PEGUAM bela Najib Razak pada Jumaat lepas memberitahu panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa dia tidak akan membuat sebarang hujahan, termasuk hujah lisan untuk anak guamnya.
Bagaimana pun, Hakim Tengku Maimun berkata mahkamah akan menentukan kedudukan pada Selasa (23 Ogos). Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos untuk mendengar rayuan tersebut.
Menurut peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla ini kerana mahkamah boleh membuat keputusan berdasarkan hujahan bertulis yang difailkan sebelum ini oleh pihak pembelaan Najib di Mahkamah Rayuan pada tahun lepas, lapor Bernama.
Mohamad Khatri berkata ia juga boleh didasarkan pada petisyen rayuan yang difailkan oleh peguam cara Najib pada 25 April lepas, yang menyenaraikan 94 alasan mengapa Najib perlu dibebaskan.
“Terdapat bahan yang mencukupi di hadapan Mahkamah Persekutuan untuk dibincangkan walaupun tanpa penghujahan lisan. Oleh itu, tidak mungkin kes itu akan ditangguhkan,” katanya.
Bagi peguam Lim Wei Jiet, sebagai mahkamah tertinggi negara, ia berkemungkinan akan membuat keputusan berdasarkan alasan rayuan dalam memorandum rayuan, rekod rayuan serta hujahan dalam Mahkamah Rayuan sebelum ini oleh pasukan pembelaan Najib.
Beliau berkata keputusan itu mungkin akan disampaikan pada hari lain.
Sementara itu, peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar berkata mahkamah mungkin memuktamadkan perbicaraan pada hari itu, tetapi akan memutuskan penghakiman kemudian.
Pendakwa ad hoc Datuk V. Sithambaram Pihak ketika menggulung hujahannya Jumaat lepas berkata, mahkamah boleh terus membincangkan keputusan mereka sekiranya tiada hujahan bertulis atau lisan baharu daripada pihak Najib.
Merujuk kepada duluan, Sithambaram berhujah bahawa terdapat kes-kes bagi mahkamah “meneruskan dengan sewajarnya” kerana pihak pembelaan telah menyatakan bahawa mereka tidak bercadang memfailkan sebarang hujahan baharu bagi rayuan itu.
Jumaat lepas merupakan hari kedua pendengaran hujahan oleh panel hakim, yang turut dianggotai oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, serta hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd, untuk mendengar keputusan akhir Najib merayu bagi membatalkan sabitan dan hukumannya.
Pelbagai peristiwa berlaku sepanjang dua hari prosiding. Pada mulanya, Hisyam cuba menarik diri daripada mewakili Najib, namun permohonannya ditolak oleh mahkamah, dan mengarahkan pihak pendakwaan mengemukakan hujahan mereka.
Pada Jumaat, Hisyam turut memberitahu panel hakim bahawa Najib telah melepaskan peguamnya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) daripada mewakilinya.
Hisyam sekali lagi meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan ke Khamis depan atas alasan dia kena hadir bagi kes lain pada Selasa dan Rabu, namun ditolak oleh mahkamah.
Mahkamah, pada 16 Ogos telah menolak permohonan Hisyam untuk menangguhkan pendengaran rayuan dan mengarahkan rayuan diteruskan pada 18 Ogos.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mohd Nazlan, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.
-BTS Media