BTS Media

Cubaan Najib dapatkan maklumat bank keluarga Zeti ditolak Mahkamah Rayuan

MAHKAMAH Rayuan pada Khamis (8 Dis) menolak rayuan Najib Razak untuk mendapatkan maklumat perbankan berkaitan keluarga bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Kamaludin Md Said sebulat suara menolak rayuan Najib yang bertujuan untuk memperkukuhkan pembelaan bekas menteri kewangan itu terhadap perbicaraan rasuah membabitkan penyelewengan dana RM2.28 bilion 1MDB yang sedang berlangsung.

Najib sebelum ini merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Julai tahun lalu yang menolak permintaannya untuk mendapatkan dokumen itu.

Semasa perbicaraan 1MDB, pasukan pembelaan Najib membangkitkan kemungkinan pengawasan Bank Negara – berhubung aliran dana ke dalam akaun bank perayu – mungkin telah dikompromikan oleh keluarga Zeti yang kononnya menerima bayaran daripada tokoh utama 1MDB dan ahli peniaga dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low), lapor Malaysiakini.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib pagi ini mengesahkan keputusan rayuan Najib yang diputuskan oleh panel hakim yang juga terdiri daripada hakim Ahmad Nasfy Yasin dan Nordin Hassan.

Antara dokumen yang dimohon oleh Najib termasuk dokumen yang didakwa menunjukkan keluarga Zeti menerima wang daripada Low, yang masih cuba dijejaki oleh pihak berkuasa Malaysia.

Najib juga antara lain memohon untuk meneliti dokumen mahkamah Amerika Syarikat berhubung pendedahan bekas pengarah urusan Goldman Sachs Tim Leissner bahawa dia merasuah beberapa pegawai 1MDB.

Pihak pendakwaan juga dijangka memanggil Zeti untuk memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB terhadap Najib.

-BTS Media

Leave a Comment