BTS Media

Dasar pendidikan jelas perlu bagi memartabatkan sejarah

USAHA memartabatkan sejarah tempatan memerlukan dasar pendidikan yang jelas supaya dapat dihayati generasi akan datang.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, pengiktirafan untuk lebih ramai ilmuwan sejarah dan arkeologi juga amat penting dalam pemuliharaan warisan sejarah dan budaya bangsa di negara ini supaya ia terus diperkasa.

“Ini bermakna kita harus menambah biasiswa dan latihan bagi menarik minat pelajar dalam bidang tersebut, apabila kepakaran bertambah dalam dua bidang ini, barulah corak pendidikan melalui sejarah akan meningkat.

“Pengabaian subjek sejarah dan arkeologi amat bahaya bagi generasi akan datang jika pengajaran sejarah itu berbaur prasangka atau prejudis.”

Rais yang mengambil Negeri Sembilan sebagai contoh berkata, pemahaman tentang Adat Perpatih dan susur-galur adat itu amat penting dijelaskan dalam pendidikan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Polemik Sejarah Negeri Sembilan ‘Perkembangan Persejarahan Negeri Sembilan’ pada Rabu (17 Ogos) di Seremban .

Katanya, kebijaksanaan, keindahan hidup tradisi di negeri Adat Perpatih itu harus dipupuk semula dengan peranan yang dimainkan oleh Yang Dipertuan Besar, Ketua-Ketua Adat serta kerajaan negeri.

“Kalau tidak diperkasa daripada sekarang, dalam satu dekad masyarakat tidak kenal apa itu adat dan mereka akan mula mempersoalkan kedudukan adat,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment