BTS Media

CEO BNS sendiri beritahu peralatan LCS sudah usang, kata pengerusi PAC

KENYATAAN terbaharu oleh ketua CEO Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) didapati bercanggah dengan keterangan yang beliau berikan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), kata Wong Kah Woh.

Kapten (B) Azhar Jumaat memberitahu media semalam (Sabtu 13 Ogos) bahawa 15 peratus daripada RM1.7bil peralatan masih lagi boleh digunakan dan tidak lapuk, seperti yang dinyatakan dalam laporan PAC awal bulan ini.

Dalam catatan Facebook pada Sabtu, Wong yang memetik kenyataan Azhar semasa prosiding PAC pada 11 Disember berkata kedudukan BNS pada Ogos 2022 bercanggah dengan apa yang dinyatakan pada Disember 2021.

Wong turut memuat naik imej transkrip prosiding PAC.

Beliau berkata bagi menjawab soalan banyak mana stok peralatan LCS sudah lapuk, Azhar berkata BNS melaksanakan proses pemantauan rapi.

Azhar dipetik memberitahu PAC bahawa BNS membuat laporan bulanan kepada pasukan projek Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan jika berdasarkan peratusan, sebanyak 15 peratus telah atau hampir lapuk.

Menurut Wong, apabila diulangi soalan, Azhar masih berkata 15 peratus.

Bagaimanapun, Wong berkata sekarang BNS berkata peralatan itu dalam proses menjadi usang dan boleh digunakan sekurang-kurangnya 25 tahun lagi.

“Persoalannya jika peralatan itu boleh digunakan sekurang-kurangnya 25 tahun, ia tidak akan dianggap sebagai dalam proses menjadi usang, bukan?

“Selepas sembilan bulan, BNS kini berkata peralatan yang telah melepasi tempoh usang hanyalah TV pintar dan bukan barangan lain?” dia menambah.

Wong berkata PAC tidak menulis laporan itu daripada kesimpulan sendiri tetapi daripada kenyataan saksi.

Beliau berkata kesimpulan yang dibuat oleh PAC bukannya berdasarkan satu atau dua saksi, tetapi berdasarkan 10 prosiding dan keterangan 21 saksi yang diguna untuk dibentangkan di Parlimen.

“Isu peralatan yang dibeli dan telah menjadi lapuk, serta jaminan yang telah tamat tempoh, adalah satu isu yang serius (pada pandangan) PAC,” tambahnya.

Wong berkata, saksi yang memberi keterangan kepada PAC juga menyuarakan kebimbangan mereka mengenai projek itu.

Beliau turut memuat naik petikan daripada beberapa kenyataan saksi.

“Saya pasti saksi tidak akan menyentuh (tempoh jaminan dan peralatan menjadi usang) jika ia hanya melibatkan TV pintar.

Sebagai pembayar cukai, saya juga berharap TV pintar sahaja yang terlibat, tetapi kenyataan saksi menunjukkan (perkara) lebih serius,” tambahnya.

Semasa lawatan media di limbungan BNS Lumut pada Sabtu, Azhar berkata syarikat itu telah diyakinkan oleh pengeluar bahawa peralatan itu semua masih boleh digunakan.

Beliau berkata peralatan itu akan dipasang pada enam LCS yang masih dalam pembinaan.

-BTS Media

Leave a Comment