BTS Media

Semua pemegang visa kini boleh buat umrah

GAMBAR ATAS: Dengan izin dan dilesenkan oleh Creative Commons.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

ARAB Saudi mengumumkan pada Sabtu (13 Ogos) bahawa pelawat kini boleh menggunakan semua jenis visa, termasuk visa pelancong untuk melakukan umrah.

Keputusan yang terpakai bagi musim umrah baharu bermula 30 Julai ini bertujuan menambah nilai kepada kunjungan sama ada bagi menikmati pengalaman pelancongan di negara itu,  mahu pun yang khusus untuk mengerjakan ibadah umrah, lapor agensi berita Saudi (SPA) yang memetik Kementerian Haji dan Umrah.

Kebenaran itu turut merangkumi pelawat yang layak mendapat visa semasa ketibaan atau e-visa dan pemegang visa Amerika Syarikat, British atau negara-negara Schengen (Kesatuan Eropah).

Pemegang visa lawatan keluarga dan lain-lain juga boleh menunaikan umrah dengan membuat temu janji melalui aplikasi Eatmarna atau menghantar permohonan ke pusat pemprosesan setempat Unified National Visa Platform.

Pelawat juga perlu dilindungi insurans kesihatan bagi rawatan Covid-19, kemalangan, kelewatan atau pembatalan penerbangan dan isu-isu lain untuk menunaikan umrah.

Pada 31 Julai sebanyak 20,000 visa umrah telah dikeluarkan.

Keputusan itu dibuat selepas pengumuman kerajaan Arab Saudi pada awal bulan ini bahawa program visa semasa ketibaan disambung semula selepas menangguhkannya selama kira-kira dua tahun kerana pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Arab Saudi mengeluarkan visa haji dan umrah untuk jemaah haji yang membenarkan mereka sekadar berkunjung ke Makkah dan Madinah bagi menunaikan ibadah tersebut.

-BTS Media

Leave a Comment