BTS Media

Amar Singh: Dakwaan Raja Petra palsu konon teman wanita hadir, ambil beg sewaktu serbuan 1MDB

 

Oleh Zainal AS Rashid

BEKAS pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh menafikan dakwaan bahawa teman wanitanya hadir semasa serbuan di rumah Najib Razak pada Mei 2018 dan mengambil salah satu beg yang dirampas.

Beliau yang telah bersara berkata akan membuat laporan polis terhadap penulis blog kontroversi Raja Petra Kamaruddin (RPK) selepas dia membuat dakwaan itu di portal Malaysia Today miliknya.

Sambil menyifatkan serbuan itu sebagai serbuan terbesar dalam sejarah Polis Diraja Malaysia, Amar berkata ia dilakukan dengan pematuhan prosedur yang ketat.

Menurut Amar segala yang ditemukan pada serbuan itu direkodkan, tiada wanita awam hadir, dan juga tiada apa pun dikeluarkan seperti yang didakwa RPK.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat (12 Ogos) beliau berkata perlu diingat bahawa serbuan itu dibuat oleh sebuah pasukan terdiri daripada beberapa timbalan pengarah dan penolong pengarah polis, serta pegawai kanan polis yang kemudian menjadi pengarah dan ketua polis negeri.

Kira-kira 70 anggota polis dan pegawai dari beberapa jabatan PDRM terbabit dalam serbuan itu, termasuk daripada JSJK, Unit Tindakan Khas (UTK), JSJ dan Jabatan Trafik, kata Amar.

Beliau berkata tidak mungkin apa pun boleh melepasi pemantauan pasukan yang hanya bertemu pada hari serbuan tanpa disedari oleh sesiapa.

Tambah beliau, tidak mungkin wujud konspirasi untuk disembunyikan, kerana beliau memilih anggota pasukan daripada jabatan berbeza PDRM bagi mengelakkan apa-apa dakwaan palsu oleh mana-mana individu upahan, seperti RPK.

Amar berkata rakaman foto dan video turut dibuat sewaktu serbuan daripada mula hingga akhir oleh pasukan bebas Jabatan Siasatan Jenayah, dan semua bahan masih berada dalam simpanan pihak JSJ.

Beliau berkata tidak mungkin mana-mana orang awam yang hadir boleh terlepas daripada rakaman kamera dan video tanpa disedari, melainkan orang halimunan.

“Tambahan pula bangunan tempat serbuan dijalankan mempunyai lebih 100 kamera CCTV, dan lebih 50 wartawan sedang menunggu di lobi, satu-satunya pintu keluar bangunan ketika itu.

“Tiada seorang pun daripada wartawan nampak seorang wanita awam berjalan keluar daripada serbuan itu, apatah lagi dengan membawa beg besar seperti didakwa.

Oleh itu, Amar berkata dakwaan RPK adalah palsu.

“Saya akan membuat laporan polis terhadap RPK berhubung dakwaan palsu ini.

“Saya juga dimaklumkan oleh pegawai kanan yang hadir semasa serbuan bahawa mereka juga akan membuat laporan polis terhadap RPK,” katanya.

Dalam pada itu, Amar turut menafikan bahawa beliau telah berpindah ke Kanada.

“Saya masih di Malaysia dan akan berada di sini, di negara saya sehingga saya mati. Tetapi saya tidak boleh mengatakan perkara yang sama untuknya (RPK).

“Jika seseorang telah melakukan tugasnya dengan integriti sudah tentu tiada apa yang perlu dirisaukan,” katanya.

Amar turut mencabar RPK untuk pulang ke Malaysia dan mendedahkan apa yang dia ada.

“RPK hanya melontar batu dari jauh dan bersembunyi di sebalik lapisan kekebalan berada di luar negara.

Beliau yang bersara pada 5 Disember 2018 merupakan pegawai utama siasatan polis dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan pernah mengetuai serbuan ke atas beberapa premis yang dikaitkan dengan Najib selepas Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum pada Mei, 2018.

-BTS Media

 

Leave a Comment