GAMBAR ATAS: Kredit Kaki Pancing.
Oleh Zainal AS Rashid
TAMAN Negara Endau Rompin di Johor kini diiktiraf sebagai Taman Warisan Asean (AHP) ke-51, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata Taman Endau Rompin merupakan AHP keempat di Malaysia selepas Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak; Taman Negara Kinabalu, Sabah; dan Taman Negara (Pahang, Kelantan dan Terengganu).
Usaha untuk diiktiraf sedemikian bermula pada 2018 dan diluluskan oleh Menteri Alam Sekitar Asean pada 7 Julai.
Dalam satu kenyataan Takiyuddin berkata ia juga merupakan kejayaan Malaysia dalam usaha memperbaiki pemuliharaan biodiversiti.
AHP ialah program di bawah Asean yang mengurus dan mengiktiraf kawasan unik di rantau ini dengan kekayaan biodiversiti dan nilai ekologi paling penting.
Taman Negara Endau Rompin meliputi kawasan seluas 48,905ha, dengan lebih daripada 90 peratus dilitupi oleh hutan hujan tropika.
Ekosistem kawasan tersebut masih terpelihara dan membentuk kawasan teras Landskap Hutan Selatan seluas 10,000 km persegi, yang penting sebagai habitat mamalia besar yang terancam, terutamanya Harimau Malaya.
Kawasan yang kaya dengan biodiversiti ini dianggarkan mempunyai 1,593 spesies flora iaitu 19.2 peratus spesies di semenanjung Malaysia.
-BTS Media