Oleh Zainal AS Rashid
MAHKAMAH Persekutuan memutuskan bahawa enakmen anti-lompat parti Pulau Pinang adalah sah di bawah perlembagaan.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel tujuh hakim, berkata Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
“Apabila membaca dan mempertimbangkan semua kertas kausa dan penghujahan, bertulis dan lisan, kami sebulat suara berpendapat bahawa jawapan kepada satu-satunya persoalan perlembagaan adalah negatif”
Oleh itu, beliau berkata pada prosiding dalam talian di Putrajaya pada Rabu (3 Ogos), perkara 14A tidak terbatal kerana ia tidak bercanggah dengan Perkara 10.
Satu-satunya persoalan undang-undang yang dikemukakan kepada mahkamah tertinggi ialah sama ada Perkara 14A perlembagaan negeri terbatal kerana tidak konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Hakim Negara seterusnya berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) berhak menggubal undang-undang untuk menentukan kelayakan keahliannya sendiri.
Pada 12 April, Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad membenarkan permohonan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan Speaker Law Choo Kiang untuk merujuk soalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi mahkamah tertinggi mendengar dan memutuskan sama ada enakmen anti lompat parti sah di bawah perlembagaan.
DUN dan speakernya mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan negeri Pulau Pinang terbatal kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.
Empat Ahli Dewan Undangan Negeri, iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam), dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) telah memfailkan tiga writ saman pada 2020 terhadap DUN dan speakernya untuk mencabar usul yang diperkenalkan pada Oktober 2020 supaya empat orang itu mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil yang akan diadakan.
-BTS Media