Oleh Fetty Rara
PARA pemimpin negara di Austria hari ini merayu supaya seluruh rakyat bersatu selepas seorang doktor yang berdepan dengan ugutan bunuh oleh kumpulan anti-vaksin dan penyokong teori konspirasi Covid-19 membunuh diri.
Susulan itu, Presiden Alexander Van der Bellen meminta supaya dihentikan segala bentuk ugutan, kebencian dan sikap tidak bertoleransi di Austria.
Beliau memuji mendiang Doktor Lisa-Maria Kellermayr yang tegas berkhidmat menyumbang jasa untuk melindungi, merawat pesakit Covid-19 dan membantu mengawal jangkitan semasa pandemik tersebut.
Namun demikian, segala pengorbanan dan usaha beliau tidak disukai oleh puak anti vaksin. Mereka menakutkan beliau dengan ugutan; pada mulanya melalui Internet dan kemudian secara berdepan.
Doktor Lisa yang sering diundang media untuk wawancara tentang usaha menangani pandemik Covid-19 dan menggalakkan vaksinasi dalam kalangan orang ramai, ditemukan mati di pejabatnya pada Jumaat (29 Julai), lapor todaytimeslive.com.
Austria pada bulan lalu menggugurkan rancangan untuk mewajibkan vaksinasi Covid-19 bagi semua individu dewasa.
Tahun lepas, berpuluh ribu penduduk Austria yang termakan oleh maklumat palsu dan hasutan puak anti-vaksin telah mengadakan perarakan protes terhadap tindakan ‘lockdown’ dan rancangan kerajaan untuk mewajibkan vaksinasi.
-BTS Media