PIHAK Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) telah memberikan kelulusan bersyarat untuk vaksin Covid-19 Pfizer yang dikemas kini, membuka jalan untuk ia dilancarkan sebagai suntikan penggalak di Malaysia.
Formulasi baharu ialah vaksin bivalent yang mengandungi komponen strain Covid-19 asal yang pertama kali dikesan di Wuhan pada 2020, serta strain BA.4-5 yang lebih terkini.
“Ia adalah untuk penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas yang telah menerima vaksinasi primer dengan vaksin Covid-19 mRNA atau vaksin Covid-19 adenoviral vektor lain yang diluluskan, sekurang-kurangnya selepas tiga bulan daripada penerimaan dos primer yang telah lengkap atau dos penggalak yang terakhir,” kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat DCA hari ini.
Bagaimanapun, dia tidak menyatakan bilakah vaksin baru itu akan tersedia di fasiliti penjagaan kesihatan di negara ini, dan cara mendapatkan vaksin itu.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin berkata vaksin bivalent berkenaan akan tiba di Malaysia pada minggu ketiga atau keempat November.
Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/647965