BTS Media

Lahirkan pemimpin beradab, berbudi pekerti tinggi– Raja Muda Perlis

NEGARA perlu melahirkan pemimpin berbudi pekerti dan beradab tinggi untuk membentuk bangsa yang beradab dan bertamadun.

Ini kerana pemimpin hebat adalah pemimpin yang menunjukkan teladan melalui nilai-nilai dan sifat kepimpinan baik.

Apa yang dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ini merujuk kepada pembentukan generasi muda sebagai aset penting bagi menentukan masa depan negara.

Baginda yang bertitah demikian pada ‘Majlis Titipan Titian Kasih Bersama DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis ’di Shah Alam, Selangor semalam (27 Julai) juga berpesan kepada peserta bahawa untuk menjadi pemimpin tertinggi mereka perlu bersedia menjadi pengikut pada bila-bila masa.

Baginda mengingatkan tentang perlunya memupuk dalam diri sifat-sifat, termasuk hidup berperaturan, patuh kepada Tuhan, berintegriti dan memahami degup jantung rakyat dan organisasi yang dipimpin nanti.

Tuanku Syed Faizuddin berkata memandangkan dunia sedang mengalami perubahan melalui pemerkasaan teknologi dan era Revolusi Industri 4.0 (IR4), penganjuran MFLS Tier 3 ini tepat pada masanya.

Majlis bersempena program “Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3, 2022” ini antara usaha untuk mendekatkan belia dengan institusi beraja, dan memahami realiti serta fakta tentang pentingnya sistem tersebut di Malaysia.

Program 12 hari yang bermula dari 16 Julai hingga 30 Julai ini mengetengahkan tujuh elemen, iaitu kepimpinan, kenegaraan, pembentukan watak, jati diri, keusahawanan, kesukarelawanan, komunikasi dan pengantarabangsaan.

Ia dihadiri oleh seramai 150 peserta terpilih daripada program sebelum ini pada 2019, 2020 dan 2021.

Program dianjurkan bersama oleh Yayasan Tuanku Syed Putera (YTSP), dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-Lead) Kementerian Belia dan Sukan.

Turut hadir, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah lailatul Shahreen Akashah Khalil, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker serta pengurusan tertinggi kementerian.

Titiah 27JUL22_Super Latest

-BTS Media

Leave a Comment