BTS Media

Polis Johor henti siasatan ke atas ahli perniagaan So Teow kerana NFA

GAMBAR ATAS: Bangkok Post.

 

Oleh Zainal AS Rashid

POLIS Johor telah menghentikan siasatan terhadap ahli perniagaan Malaysia Tedy Teow, yang sedang menunggu dihantar ke China selepas ditangkap di Thailand.

Ketua Polis Negeri Kamarul Zaman Mamat berkata pejabat timbalan pendakwa raya mengklasifikasikan siasatan terhadap pengasas Mobility Beyond Imagination (MBI) itu sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

Beliau berkata mereka telah memaklumkan jabatan komersial Bukit Aman bahawa siasatan terhadap suspek berikutan laporan polis yang dibuat terhadapnya di Pekan Nanas adalah di bawah NFA oleh pihak timbalan pendakwa raya, lapor The Star.

Menurut beliau terdapat beberapa elemen dan keterangan dalam siasatan terhadap suspek yang dirasakan oleh pihak pendakwa raya menyebabkan kes tidak dapat diteruskan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Pingat Jasa Pahlawan Negara di ibu pejabat polis negeri di Johor Baru pada Rabu (27 Julai).

Kamarul Zaman menambah bahawa berikutan kemas kini NFA, polis telah mengklasifikasikan siasatan mereka terhadap Teow sebagai selesai.

Beliau, bagaimana pun, berkata Bukit Aman masih menyiasat suspek berhubung penglibatannya dalam beberapa kes lain.

Teow kini dalam tahanan di Thailand dan menunggu pengusiran selepas dia ditahan di Songkhla pada Jumaat lalu. Dia dikehendaki di Malaysia dan China.

Polis Malaysia memohon supaya dia dihantar pulang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Polis Beijing juga dilaporkan mahu dia disoal siasat susulan tindakan saman yang difailkan pada akhir tahun lepas oleh kira-kira 400 pelabur dari China untuk mendapatkan semula pelaburan bernilai kira-kira RM100 juta.

Pada 2019, kira-kira 100 warga China mengadakan protes aman di luar kedutaan China di Kuala Lumpur untuk mengadu bahawa mereka telah ditipu oleh skim piramid dalam talian yang dikendalikan oleh MBI.

Tahun lepas, polis berkata Teow dan dua anak lelakinya turut terlibat dalam penipuan Macau berjumlah sehingga RM336 juta.

-BTS Media

Leave a Comment