BTS Media

Protes harga barang: Antara tuntutan desak menteri dipotong gaji demi rakyat

Oleh Zainal AS Rashid

PESERTA protes #Turun Malaysia telah berkumpul di luar Kompleks Beli-belah Sogo, Kuala Lumpur pada petang Sabtu (23 Julai) dan kemudian berarak menuju ke Dataran Merdeka.

Mereka berkumpul pada kira-kira pukul 2.00 petang sambil melaungkan slogan membantah kenaikan harga barang dan menuntut para menteri dipotong gaji.

Dalam satu kenyataan, jawatankuasa Turun Malaysia (#Turun) berkata matlamat protes itu ialah bagi memastikan kerajaan tidak mengetepikan isu kenaikan harga barang.

Ahli jawatankuasa Turun Malaysia, Amir Abdul Hadi pula menuntut supaya kabinet dikecilkan kerana beliau berkata kabinet sekarang adalah yang terbesar dalam sejarah.

#Turun Malaysia juga mendesak supaya semua gaji menteri dipotong, kerajaan meneruskan subsidi, kawalan harga barang, dan menyelesaikan isu-isu berkaitan keselamatan makanan.

Pihak penganjur protes dan beberapa pemimpin politik turut berucap di luar Sogo selama lebih kurang setengah jam dan kemudian mula bergerak ke Dataran Merdeka, tapi mereka dihalang sekatan oleh anggota polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata polis maklum tentang rancangan untuk mengadakan perhimpunan itu di depan kompleks membeli-belah Sogo hari ini.

-BTS Media

Leave a Comment